Kabinet bincang isu Tabung Haji esok

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Jangkaan garis masa dan tarikh sasaran untuk menyempurnakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu berbangkit mengenai Lembaga Tabung Haji (LTH) akan diputuskan dalam mesyuarat Kabinet, esok.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Ahmad Marzuk Shaary, berkata Memorandum Jemaah Menteri (MJM) bagi membincangkan operasi perlaksanaan RCI telah disediakan dan diedarkan bagi Jemaah Menteri.

- Advertisement -

“Ini meliputi perkara seperti keahlian RCI serta aspek pengoperasian pentadbiran dan logistik melibatkan pengurusan RCI,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Ir Ts Haji Khairil Nizam Khirudin, mengenai perkembangan penubuhan RCI berhubung LTH di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

Ahmad Marzuk berkata, aspek tadbir urus, integriti dan reputasi LTH sebagai institusi simpanan kewangan Islam adalah amat penting bagi memastikan kedudukan kewangan LTH lebih kukuh dan stabil, untuk menjamin dan memelihara kepentingan pendeposit dan jemaah haji Malaysia.

“Sebagaimana yang termaktub di dalam Akta Tabung Haji 1995, simpanan pendeposit kekal selamat dan dijamin oleh Kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan dan pandangan dari RCI kelak diharapkan dapat membantu LTH menambah baik pengurusan dan aspek tadbir urus. – HARAKAHDAILY 7/10/21

- Advertisement -