ADUN Beserah bantu tingkat keupayaan nelayan darat

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Keupayaan nelayan darat dapat ditingkatkan menerusi usaha penubuhan persatuan, pemberian lesen dan bentuk-bentuk khidmat sokongan serta bantuan diperlukan untuk mereka.

ADUN Beserah, Andansura Rabu mengemukakan pandangan tersebut ketika mengadakan pertemuan bersama kumpulan nelayan darat Cherating yang diadakan di Balai Raya Cherating, di sini baru-baru ini.

- Advertisement -

Pertemuan ini diaturkan beliau dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pahang, Pejabat Perikanan Daerah Kuantan dan Persatuan Nelayan Kuantan susulan pertemuannya dengan Pejabat Perikanan Kuantan sebelum itu.

Menurutnya, jumlah nelayan darat tidak seramai warga nelayan laut, tetapi tetap memerlukan lesen bagi menjalankan aktiviti perikanan, tetapi mereka tidak memiliki persatuan yang boleh mengangkat suara dan isu-isu keperluan mereka. 

“Mereka menjadikan tangkapan hasil sungai sebagai sumber pendapatan utama. Ini termasuk ikan, udang dan ketam. Tetapi mereka tidak mendapat banyak kemudahan sepertimana nelayan laut seperti subsidi minyak, bantuan sara hidup dan lain-lain. 

“Oleh itu, saya cuba usahakan supaya warga nelayan darat ini dapat dipertingkatkan keupayaan mereka untuk kelangsungan aktiviti ekonomi mereka. Pertemuan ini bertujuan untuk memberi peluang kepada mereka mendapatkan maklumat yang jelas daripada para pegawai yang hadir berkaitan urustadbir kegiatan ekonomi mereka. 

“Saya sentiasa cenderung kepada dialog dan perbincangan dua hala seumpama ini bagi memberi peluang semua pihak berkongsi maklumat dan pandangan secara terus. Walaupun nelayan darat mungkin antara kumpulan minoriti dalam sektor ekonomi setempat, namun saya cuba pastikan mereka tidak dipinggirkan,” ujarnya.

Hadir bersama adalah Timbalan Ketua Pengarah LKIM Pahang, Nazrulzam Jamil dan Timbalan Ketua Daerah Perikanan, Mohd Khir Omar serta Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kuantan, Zamri Mohamad.

Kata Andansura, antara yang akan diusahakan selepas ini adalah menubuhkan persatuan untuk nelayan darat Cherating dan mendapatkan lesen serta mengusahakan bentuk-bentuk khidmat sokongan dan bantuan yang diperlukan. 

“Bernaung di bawah persatuan yang menyatukan mereka setidak-tidaknya boleh mempermudahkan urusan membawa suara mereka kepada pihak-pihak yang berkenaan,” ujar beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang. – HARAKAHDAILY 6/10/2021

- Advertisement -