Terengganu dijangka ke Fasa 4 PPN akhir Oktober

- Advertisement -

MARANG: Perkembangan positif proses vaksinasi Covid-19 memberikan khabar gembira buat seluruh warga Terengganu apabila negeri itu dijangka beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada akhir Oktober ini.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia selaras dengan kadar pemberian dua dos vaksin yang kini mencecah 82.7 peratus, manakala satu dos sudah mencapai 91.2 peratus.

Katanya, esok beliau akan menghadiri mesyuarat khas Jawatankuasa Pandemik Covid-19 yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan hal itu.

“Setiap kali mesyuarat pihak berkaitan akan melihat data-data di setiap negeri untuk menentukan mana-mana negeri yang boleh beralih ke fasa seterusnya dalam PPN.

“Antara data yang bakal dibentangkan, kadar pengunaan katil bilik unit rawatan rapi, jumlah peratusan vaksinasi serta kadar jangkitan dalam jumlah 100,000 penduduk.

“Jika menampakkan perkembangan positif, kemungkinan Terengganu akan dibenarkan masuk ke fasa 4 hujung Oktober depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Program Pemberian Vaksin Kepada Pelajar Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Berangan, di sini hari ini.

Ahmad Samsuri menyeru seluruh masyarakat termasuk rakyat di Terengganu perlu bersedia berdepan ke  fasa endemik Covid-19, di mana perlu hidup dengan virus berkenaan.

“Sebab itulah pentingnya perlu lengkap vaksinasi supaya boleh meneruskan kehidupan seperti biasa, sekiranya tidak, ekonomi negeri dan negara serta kehidupan rakyat akan terus merundum,” katanya.

Dalam program vaksinasi berkenaan, seramai 1,429 pelajar tingkatan satu hingga tiga hadir bagi bagi mendapatkan suntikan vaksin dos pertama di pusat vaksinasi itu.

Dos kedua pula dijangka akan dilaksanakan pada 19 Oktober depan.

Jumlah itu adalah sebahagian daripada keseluruhan 5,627 pelajar di Marang.

Tiga pusat vaksinasi lain adalah SMK Seri Seranting, SMK Bukit Sawa dan SMK Seberang Marang. – TRDI.my

- Advertisement -