Pusat setuju biayai projek Lebuh Raya Rakyat

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU: Tender projek pembinaan Lebuh Raya Rakyat yang bermula dari Kampung Bukit Tiu ke Kampung Berangan Mek Nab di Machang dijangka dikeluarkan pada Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti, Dato’ Sr. Azami Mohd Nor berkata projek sepanjang 10 kilometer itu merupakan sebahagian komponen pembinaan lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai.

“Sebahagian besar daripada pakejnya diberi kepada kontraktor yang berjaya, cuma satu pakej lagi yang belum selesai iaitu pakej Lebuh Raya Rakyat sepanjang 10 km.

- Advertisement -

“Berdasarkan perancangan Jabatan Kerja Raya (JKR) projek lebuh raya itu akan ditenderkan dan kita harap pembinaannya di mana ada yang sudah bermula, dijangka siap sepenuhnya pada 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Pusat Khidmat Dun Kadok hari ini.

Pada majlis itu seramai 102 pelajar menerima sumbangan. Hadir sama setiausaha Adun Kadok Ab Aziz Mohamad dan Timbalan Pengarah Pusat Khidmat Dun (PKD) Kadok, Mohd Rusdi Mohd Nor.

Projek Lebuh Raya Rakyat merupakan inisiatif kerajaan negeri bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di Kelantan terutamanya pada musim perayaan, selepas negeri itu disisihkan daripada mendapat kemudahan lebuh raya.

Berikutan itu mantan Menteri Besar, Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat melakukan pecah tanah pembinaan lebuh raya tersebut pada Mei 2012.

Kelantan juga merupakan satu-satu negeri yang berusaha membina sendiri lebuh raya selepas disisihkan dalam tempoh begitu lama.

Malah negeri itu juga pernah disenaraikan mendapat kemudahan lebuh raya pada Rancangan Malaysia Ke-5 (1986-1990), namun ia tidak menjadi kenyataan.

Azami yang juga Kadok berkata, kerajaan negeri berbincang dengan kerajaan pusat supaya Lebuh Raya Rakyat diserahkan kepada persekutuan.

“Semua perbincangan sudah selesai dan kita juga menerima surat dari kerajaan persekutuan mengenai kesanggupan membiayai pembinaan laluan sepanjang 10 km.

“Pada peringkat awal pembinaannya sudah dimulakan namun kerana beberapa kekangan, kita batalkan,” katanya.

Lebuhraya Utama Tengah (CSR) dari Kota Bharu-Kuala Krai sepanjang 73.5 kilometer disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dijangka siap pada 2025.

“Dalam pembentangan RMK12 semalam Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan projek lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai sebahagian daripada projek CSR,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/9/2021

- Advertisement -