Kementerian Sumber Manusia pastikan majikan patuhi Akta 446

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Dua kementerian bekerjasama untuk melaksanakan penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata walaupun Akta 446 berada di bawah Kementerian Sumber Manusia, kebenaran untuk membina tempat penginapan di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

- Advertisement -

Sehubungan itu, katanya kedua-dua kementerian mengadakan pelbagai mesyuarat atau perjumpaan dengan pihak berkaitan untuk menangani isu ini.

“Setakat 25 Ogos lalu, sebanyak 23,993 majikan telah diperiksa melibatkan 129,698 tempat penginapan yang didiami oleh 804,204 pekerja asing dan hampir 1.2 juta pekerja tempatan.

“Hasil pemeriksaan dan penguatkuasaan mulai 1 Jun tahun lalu sehingga kini, sebanyak 12,195 permohonan perakuan penginapan mengikut Akta 446 telah dibuat oleh majikan dan penyedia penginapan berpusat melibatkan 992,743 pekerja,” katanya menjawab soalan Dr Ong Kian Ming (PH-Bangi) di Dewan Rakyat, hari ini.

Kian Ming meminta Menteri Sumber Manusia memberitahu tindakan yang diambil untuk memastikan Akta 446 dipatuhi oleh syarikat di sektor pembuatan dan pembinaan yang banyak berlaku kes Covid-19.

Saravanan berkata, susulan pemeriksaan tersebut, sebanyak 940 kertas siasatan dibuka dan sebanyak 618 kompaun dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan.

Katanya, antara kesalahan yang dilakukan ialah kegagalan permohonan perakuan penginapan dan kegagalan memenuhi standard minimum penginapan seperti penyediaan almari, katil, tilam dan bantal.

Beliau berkata, pindaan Akta 446 pada 1 Jun tahun lalu membolehkan akta ini diguna pakai di semua sektor pekerjaan, sekali gus dapat membantu mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja asing melalui kemudahan penginapan yang lebih baik.

“Bagi memastikan pelaksanaan Akta 446 yang berkesan, akta ini dimasukkan ke dalam Ordinan Darurat dan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak, serta memberi kuasa kepada Menteri Sumber Manusia untuk melantik pegawai penguatkuasa tambahan,” katanya.

Sementara itu, katanya fokus kementerian sekarang ialah untuk memantapkan penguatkuasaan Akta 446 dan antara usaha bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan, penurunan kuasa telah diberikan kepada pelbagai agensi di bawah kementerian.

Katanya, antara jabatan berkenaan ialah Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja yang melibatkan seramai lebih 2,000 pegawai penguatkuasa tambahan. – HARAKAHDAILY 28/9/21

- Advertisement -