Perkeso bayar pampasan RM11.19 juta kepada pekerja positif Covid-19

- Advertisement -

Oleh: SARINA ISMAIL

PENDANG: Sejumlah RM11.19 juta telah diperuntukkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk membayar pampasan kepada golongan pekerja yang dijangkiti Covid-19 di tempat kerja.

Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia (KSM), Dato’  Awang Hashim, sehingga 18 Sept lepas, jumlah berkenaan melibatkan 15,036 kes. 

- Advertisement -

“Daripada jumlah itu, lebih RM10 juta dibayar kepada pekerja tempatan (13,170 kes) manakala lebih  RM1 juta pula melibatkan pekerja asing (1,866 kes),” katanya dalam sidang media di Dewan Perumahan KEDA, Tanjung Setul, Jenun, di sini, semalam.

Beliau hadir bersama Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.Saravanan sempena lawatan kerja ke program Outreach Covid-19 di Dewan Perumahan KEDA, Tanjung Setul, Jenun. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman.

Program vaksinasi itu anjuran Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) dan Pejabat Kesihatan Daerah Pendang. 

Menurut Ahli Parlimen Pendang itu lagi, sebanyak RM3.5 juta telah dibayar untuk faedah pengurusan jenazah yang melibatkan kes kematian Covid-19 membabitkan 1,792 kes dalam kalangan pekerja tempatan.

“Untuk pekerja asing pula, Perkeso juga membuat bayaran pampasan berjumlah RM3,500 bagi pengurusan melibatkan dua kematian,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/9/2021

- Advertisement -