Malaysia tekad kurangkan pelepasan karbon

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengambil kira prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam proses membuat keputusan.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata walaupun negara hanya menyumbang 0.7 peratus kepada pelepasan gas rumah kaca (GHG), kerajaan akan terus memenuhi komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan GHG sehingga 45 peratus kepada KDNK pada tahun 2030.

- Advertisement -

Katanya, ini berdasarkan intensiti pelepasan pada tahun 2005, selari dengan aspirasi menjadi negara rendah karbon.

“Saya menyambut baik inisiatif sektor swasta yang telah mengambil langkah ke hadapan melalui komitmen bagi mencapai pelepasan karbon sifar bersih.

“Ini termasuk komitmen syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Petronas, Tenaga Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Sarawak Energy Berhad, untuk mencapai matlamat ini pada tahun 2050,” katanya ketika membentangkan usul Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat, hari ini..

Perdana Menteri menggesa syarikat lain mencontohi inisiatif ini dengan menyatakan komitmen yang sama kerana langkah ini menjadi semakin penting apabila rakan dagangan, pasaran modal dan institusi kewangan meletakkan syarat pematuhan kepada prinsip ESG dalam keputusan pelaburan dan pengeluaran produk mereka.

Katanya, kerajaan akan bersama-sama pihak swasta menjayakan matlamat ini dan mengisytiharkan komitmen Malaysia menjadi negara neutral karbon seawal-awalnya pada tahun 2050.

Bagi menyokong usaha ini, katanya instrumen ekonomi seperti penetapan harga dan cukai karbon akan diperkenalkan, manakala perincian langkah lain bagi pengurangan karbon akan diumumkan setelah kajian strategi pembangunan jangka panjang rendah karbon dimuktamadkan pada akhir tahun 2022.

Sehubungan itu, katanya kerajaan memberi komitmen untuk tidak lagi membina loji janakuasa arang batu yang baharu.

“Saya sedar ini memerlukan usaha bersepadu serta komitmen dan pelaburan hijau yang tinggi. Namun, saya yakin dengan penglibatan Keluarga Malaysia, aspirasi ini bukan angan-angan kosong.

“Komitmen ini akan memastikan Malaysia seiring dengan usaha negara lain mencapai matlamat global dalam menangani perubahan iklim dan meningkatkan daya saing negara,” katanya.

Sementara itu, katanya kerajaan juga mengiktiraf pertubuhan masyarakat sivil atau CSO sebagai rakan pembangunan dalam usaha kerajaan mencapai matlamat pembangunan mampan.

Katanya, peranan CSO juga akan diinstitusikan dalam pelbagai mekanisme tadbir urus, terutama dalam pelaksanaan dan pemantauan program pembangunan peringkat akar umbi bagi mencapai Agenda 2030. – HARAKAHDAILY 27/9/21

- Advertisement -