Di mana ada bencana, di sana pastinya ada Jabatan Amal

- Advertisement -

KALAU orang hilang di hutan, mereka akan masuk ke hutan buat operasi. Kalau ada orang lemas mereka akan masuk ke dalam laut atau sungai, kalau ada tanah runtuh mereka yang akan sampai ke lokasi sebelum orang lain, kalau ada banjir merekalah yang akan memikul selut dari rumah ke rumah bergotong royong. Inilah Jabatan Amal Malaysia.

30 tahun Jabatan Amal Malaysia menabur bakti kepada ummah dan masyarakat, alhamdulillah tidak pernah berubah matlamat perjuangannya. Inilah salah satu daripada nikmat dan kepuasan terbesar kami pemuda-pemuda PAS sejak dulu hingga ke hari ini.

- Advertisement -

Alhamdulillah di dalam Jabatan Amal Malaysia kami diasuh menjadi sebaik-baik manusia iaitu bermanfaat kepada orang lain tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan parti politik.

Baru-baru ini alhamdulillah pelbagai pihak telah semakin membuka mata dan mula memberikan pengiktirafan kepada Jabatan Amal Malaysia. Pengiktirafan yang ada pada hari ini adalah merupakan hadiah kepada seluruh anggota petugas Jabatan Amal Malaysia bermula daripada sejak generasi awal yang meletakkan asas yang kukuh sehinggalah ke generasi pada hari ini yang menyambung legasi Jabatan Amal Malaysia ke tahap yang sangat membanggakan.

Dalam Jabatan Amal Malaysia kami datang daripada pelbagai latar belakang. Ibarat kata, “bermula daripada mereka yang ada PhD sehinggalah mereka yang baru nak mula masuk sekolah menengah”. Semuanya diterima di dalam Jabatan Amal Malaysia.

Apabila kita menyarung baju JAM semua pangkat, kekayaan dan kemayhuran kita ada akan ditinggalkan di belakang. Kita semua pada waktu itu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah serta akan mematuhi arahan yang sama daripada seorang ketua.

Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi di atas nikmat peluang menjadi anggota petugas Jabatan Amal Malaysia. Di sinilah kami menabur bakti, buat agama, bangsa dan negara. Beramal kerana Allah!

Sebarang sumbangan bagi menampung kos operasi Jabatan Amal Malaysia boleh melalui nombor akaun berikut berikut;

Tabung Kebajikan Jabatan Amal Malaysia
Maybank
563028619988 

Semoga sumbangan kalian dapat meringankan beban Jabatan Amal Malaysia.

Allahuakbar!

YB SENATOR IR. TS. HJ. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ketua Pemuda Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 27/9/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/678811362163260/posts/4733784203332602/

- Advertisement -