Gangguan seksual dan sistem keadilan

- Advertisement -

TIDAK bersalah hingga dibuktikan sebaliknya. Kata kuncinya ialah ‘dibuktikan’. Beban pembuktian untuk kesalahan jenayah ialah ‘melampaui keraguan munasabah’. Sekiranya ada sedikit pun keraguan terhadap bukti dan versi pihak pendakwaan, maka tertuduh harus dilepaskan.

Semudah itu? Ya, kerana melepaskan orang bersalah lebih baik daripada menghukum orang tidak bersalah. Itu asasnya. Laporan polis dibuat oleh mangsa gangguan seksual. Siasatan polis sedang dijalankan.

- Advertisement -

Dua perkara perlu benar-benar difahami;

Pertama, perlu ada kepercayaan kepada sistem keadilan, yang merangkumi siasatan, pertuduhan, perbicaraan dan hukuman. Jika tidak percaya, maka apa sahaja perbicaraan dan hukuman akan dipertikai.

Kedua, mendedahkan bukti di luar daripada perbicaraan mahkamah boleh menjadikan hukuman bersalah dijatuhkan sebelum waktunya.

Kerana pendedahan bukti tidak mengikut kanun acara dan prosedur yang ketat. Di mahkamah setiap bukti dinilai dengan ‘fine tooth comb’, dan dicabar oleh pembelaan. Proses cabaran ini (teknikal mahupun kandungan) akan menyebabkan hanya bukti sahih sahaja boleh disandar dalam buat keputusan.

Di luar mahkamah, bukti yang didedah bukan sahaja tidak melalui proses ini, bahkan bergantung pula kepada cara ia dipersembahkan. Bukti yang ditampal-tampal dengan ‘caption’ tertentu hanya membentuk persepsi, dan bukan fakta. 

Sumpah dalam apa jua cara tidak boleh diterima sebagai bukti. Ada pihak berkata, mendedahkan kebobrokan dalam kes ini bukan mendedah aib mengikut kaedah tertentu. Saya mungkin boleh bersetuju mengenai itu. Perbahasan fiqhnya saya tidak begitu mahir.

Namun memandangkan telah ada laporan dan siasatan, persepsi sudah tidak perlu. Perbicaraan media sosial tidak perlu. Mendedah ‘aib’ untuk pengajaran sudah tidak perlu. Kerana ke semuanya akan menyebabkan hukuman dijatuhkan sebelum masanya, dan tidak melalui proses teliti dan rinci. Cukuplah.

Ya, seperkara lagi, sesuatu kebobrokan itu boleh jadi salah dari segi moral dan agama, tetapi tidak dari segi undang-undang jenayah di Malaysia. Namun jika ia kesalahan jenayah, sudah barang pasti ia tidak bermoral. Maka, tunggulah dahulu. 

Sesungguhnya, berhati-hati itu lebih baik. 

Wallahu’alam.

YUSFARIZAL YUSSOFF – HARAKAHDAILY 27/9/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

Sumber Asal: https://www.facebook.com/1460461665/posts/10225668671331149/

- Advertisement -