Kerajaan berusaha tingkat kualiti pembelajaran maya IPT

- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengambil beberapa langkah untuk meningkatkan keberkesanan Pengajaran dan Pembelajaran Dalam Talian (PdPDT) di institusi pengajian tinggi (IPT).

Timbalan Menterinya, Senator Dato’ Dr Ahmad Masrizal Muhammad, berkata antara langkah itu ialah mengukuhkan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dengan menambah baik liputan internet, penawaran pelan data yang berpatutan serta sumbangan peranti kepada pelajar yang memerlukan.

- Advertisement -

Katanya, KPT juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi membolehkan pelajar IPT menggunakan kemudahan pusat internet di bawah seliaan kementerian berkenaan.

“Terdapat 871 pusat internet desa dan 191 buah komuniti desa di bawah KPLB yang merupakan inisiatif penting bagi memastikan pembelajaran secara maya dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya menjawab soalan lisan Dato’ Sri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) di Dewan Rakyat, hari ini.

Masrizal berkata, KPT juga menyediakan panduan pengendalian PdP semasa pandemik kepada semua IPT yang turut boleh mengubah pelaksanaan PdP masing-masing, terutama secara bersemuka yang tidak boleh digantikan dengan kaedah dalam talian ke minggu pembelajaran atau semester lain.

“IPT juga boleh menggantikan latihan industri dengan pilihan lain yang sesuai seperti projek berasaskan industri atau masalah serta kajian topik atau penyelidikan,” katanya.

Beliau berkata, pensyarah politeknik dan kolej komuniti pula berpeluang menjalani pelbagai latihan PdPDT untuk memastikan teknik penyampaian dalam talian dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Katanya, KPT juga menyediakan Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS) bagi membantu pelaksanaan pembelajaran secara dalam talian.

“Kalendar akademik juga boleh dilaksanakan secara fleksibel bagi menangani keperluan melaksanakan kerja amali bersemuka yang terganggu. Tempoh pelaksanaan kalendar akademik pula dilanjutkan menjangkaui tempoh lazim 14 minggu PdP,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 23/9/21

- Advertisement -