Projek Widad@Langkasuka berjalan lancar

- Advertisement -

Oleh: SARINA ISMAIL

 ALOR SETAR: Projek pembangunan Widad@Langkasuka berjalan lancar dan kini telah berada pada fasa pertama membabitkan kerja-kerja awal untuk permohonan kebenaran merancang secara atas talian, yang dikemukakan kepada pihak Majlis Perbandaran Langkawi (MPL) pada 14 Ogos 2021 lalu.

Sementara, proses mengemukakan pelan-pelan dan bayaran kepada MPL telah dilaksanakan pada 13 September, 2021. 

- Advertisement -

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pembangunan projek berkenaan yang berbentuk komersial bercampur di Langkawi dilaksanakan oleh pemaju swasta iaitu syarikat Widad Business Group Sendirian Berhad. 

Projek berkenaan dibahagi kepada dua fasa iaitu fasa pertama di atas lot 651, seluas lebih kurang 222 ekar dan fasa kedua di atas lot 652 ekar 1,700 ekar. 

“Syarikat ini telah memeterai perjanjian kerjasama dengan syarikat Ben Zaid Internation LC (BZ I) yang berpangkalan di United Arab Emirates (UAE) pada 30 Mac 2021. Menerusi perjanjian ini kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk membangunkannya.

“Pada fasa pertama, syarikat widad Group Business Sendirian Berhad bersama dengan Syarikat Ben Zaid International LLC  telah menubuhkan syarikat tujuan khas SPV iaitu Widad VZI Sendirian Berhad sebagai pemaju  pemasaran dan promosi projek yang akan dilaksanakan bersama-sama oleh kedua-dua entiti ini,” jelas beliau ketika  menjawab persoalan Asmirul Anuar Aris (Amanah – Kubang Rotan) pada sidang DUN Kedah pada hari terakhir, hari ini. 

Menurut beliau lagi, fasa pertama terbahagi kepada tujuh komponen dan akan dijalan secara berperingkat dalam tempoh empat tahun sehingga tahun 2025 membabitkan anggaran nilai pembangunan kasar GDV berjumlah RM4.5 bilion.

“Untuk fasa pertama antara yang akan dibangunkan ialah rumah kelab dan padang golf, perumahan berpagar banglo dan rumah berkembar, kondominium, mall dan SOHO, kompleks perniagaan, bazar, dan hotel,” jelas ADUN Jeneri itu lagi.

Sementara itu, untuk pembangunan fasa seterusnya akan terbahagi kepada lapan komponen yang akan dibangunkan pada tahun ketiga dalam fasa pertama dan dijangkakan selama 15  tahun.

Projek berkenaan kata Sanusi, melibatkan komponen pembangunan seperti berikut pusat seni dan budaya, kompleks imigresen, pengangkutan hotel, resort, pusat-pusat perniagaan, acara taman tema dan rekreasi, pusat perubatan dan pemulihan, pusat pengajian tinggi dan eronortika perumahan.  

Menurutnya, pemilihan BZ I sebagai rakan kerjasama strategik berikutan pengalaman dan reputasi yang baik di UAE termasuk di peringkat antarabangsa melalui pelaburan berimpak tinggi.

Syarikat berkenaan juga, ujarnya, berdaya maju di beberapa negara luar lain serta memiliki kedudukan kewangan yang sangat kukuh.

“Sepertimana dijangka oleh syarikat terbabit, pandemik Covid-19 akan berakhir pada 2026 dan ekonomi akan berkembang semula. Commitment Fee sebanyak RM4.5 juta sudah pun dijelaskan.

“Sekiranya tidak disebabkan pandemik Covid-19, saya yakin pembangunan fizikal mungkin sudah bermula,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/9/2021

- Advertisement -