Siapa menteri besar Kedah pada 2017? – Sanusi

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Dakwaan Adun Jitra, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir berkaitan penahanan lima pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebenarnya berlaku pada 2017.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara itu tidak berlaku pada tahun 2020 atau 2021.

- Advertisement -

“Adun Jitra boleh cari siapa yang menjadi menteri besar ketika itu,” katanya pada sidang media selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) ditangguh, semalam.

Begitu juga menurutnya terdapat pemindahan wang sebanyak RM13 juta dari akaun Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI) ke akaun luar negara di Kanada pada era kerajaan sebelum ini.

“Saya tak pernah sebut lagi perkara itu. Hari ini baharu saya sebut. Perkara itu berlaku ketika pentadbiran kerajaan sebelum ini. Malah resit pemindahan wang itu pun ada saya simpan.

“Banyak lagi kalau saya hendak ungkit hal lama tetapi saya tidak mahu sebut,” kata beliau.

Sanusi juga mendedahkan kerajaan negeri terpaksa membayar kos kuih raya berjumlah RM1.3 juta yang dibuat penasihat bekas menteri besar sebelum ini.

“Harga pek lebih mahal daripada kuih. Kita terpaksa bayarlah. Jadi kalau bina rumah daripada kaca janganlah lempar batu ke rumah orang. Ini nasihat saya,” katanya.

Menurutnya juga, beliau sentiasa berfikiran terbuka dan ramai dalam kalangan pegawai kerajaan sekarang adalah rakan yang dikenali sebelum menjadi menteri besar lagi.

“Hubungan saya dengan pegawai kerajaan terbaik buat masa ini dan kami selalu berhubung dan mereka juga berusaha sedaya upaya untuk membantu kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/9/2021

- Advertisement -