Malaysia sebagai ‘negara tua’ menjelang tahun 2030

- Advertisement -

TIMBALAN Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat DATO’ SITI ZAILAH MOHD YUSOFF yakin, pandangan daripada semua pihak terutamanya ahli-ahli Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), ahli akademik, agensi kerajaan dan swasta serta Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat membantu kerajaan bagi merencana hala tuju baharu yang lebih realistik, bagi pemantapan PAWE dan seterusnya membawa kesejahteraan warga emas keseluruhannya.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Bukanlah termasuk golongan kami, mereka yang tidak mengasihani anak-anak kecil kami dan tidak pula menghormati orang-orang tua kami.” (Riwayat Tirmizi 1844)

Ketika merasmikan PAWE secara online katanya, negara dijangka akan mencapai status ‘negara tua’ atau aged nation menjelang tahun 2030 apabila dijangkakan sebanyak 15.3 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negara adalah berusia 60 tahun dan ke atas, berdasarkan unjuran data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ini bermakna, populasi warga emas di Malaysia pada ketika itu, akan menjangkau 5.8 juta orang daripada keseluruhan 38.1 juta jumlah penduduk di negara kita. Oleh itu, adalah penting bagi warga emas untuk terus kekal aktif dan produktif seiring dengan peningkatan usia mereka.

- Advertisement -

Penubuhan PAWE merupakan salah satu tindakan proaktif kementerian dalam menyediakan platform untuk warga emas terlibat dan kekal produktif dalam komuniti setempat. Sehingga kini, terdapat 143 buah PAWE yang telah ditubuhkan dan beroperasi, meliputi 131 kawasan parlimen di seluruh negara. Seramai 49,627 orang ahli berdaftar yang terdiri daripada warga emas pelbagai bangsa dan agama telah terlibat secara aktif di PAWE terlibat.

Beliau berkata, kerajaan menyasarkan, menjelang tahun 2030, Malaysia akan mempunyai sekurang-kurangnya sebuah PAWE di setiap kawasan parlimen iaitu sebanyak 222 buah PAWE keseluruhannya. Kerajaan benar-benar ingin memastikan agenda ke arah penuaan sihat, aktif dan produktif dapat terus dilaksanakan. Ini adalah selari dengan Dasar Warga Emas Negara dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara 2011.

Lima dimensi berkaitan dasar warga emas negara

Semua program dan aktiviti di PAWE dilaksanakan dengan berpandukan kepada lima dimensi yang berkaitan dengan Dasar Warga Emas Negara iaitu:

  1. Program penuaan sihat – yang melibatkan aktiviti berbentuk pemeriksaan kesihatan, pengambilan ubat-ubatan yang bersesuaian dan pemakanan yang seimbang.
  2. Program penuaan aktif – yang berkaitan dengan program sukan, rekreasi serta riadah yang bersesuaian.
  3. Penuaan positif – iaitu melaksanakan program berbentuk kerohanian, spiritual serta Pembelajaran Sepanjang Hayat.
  4. Penuaan produktif – dengan mengenalpasti bentuk-bentuk pemerkasaan ekonomi yang boleh menjana pendapatan dalam kalangan ahli PAWE.
  5. Penuaan menyokong – dengan memberikan khidmat sokongan kepada warga emas melalui aktiviti kesukarelawan.

Peruntukan pengoperasian PAWE

Beliau berkata, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM17 juta untuk penubuhan PAWE baharu mulai tahun 2018 hingga 2023 di bawah Rancangan Malaysia Ke-11. Melalui Belanjawan 2021, kerajaan juga telah menaikkan bantuan kewangan tahunan pengendalian PAWE yang dikendalikan oleh NGO daripada RM33,330 kepada RM50,000. Ini adalah bukti komitmen dan keprihatinan kerajaan khususnya dalam menambah baik perkhidmatan kepada golongan sasar yang memerlukan.

Peningkatan ini katanya merangkumi pertambahan kepada peruntukan program dan aktiviti PAWE serta kenaikan elaun sukarela, penyelia dan pembantu penyelia dengan mengambil kira gaji minimum yang telah dikuatkuasakan.
Kenaikan ini dilaksanakan bagi mendayaupayakan badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti serta memperkasakan PAWE dalam melaksanakan pelbagai program dan aktiviti dalam komuniti.

Sebanyak RM7.15 juta telah diperuntukkan pada tahun 2021 ini, bagi tujuan kelangsungan operasi di 143 buah PAWE sedia ada. Tahun ini juga, JKM telah diperuntukan sebanyak RM1 juta bagi penubuhan 10 buah PAWE baharu. Diharapkan, semua bantuan ini akan dapat memastikan kelestarian operasi PAWE untuk terus aktif dan produktif.

PAWE sebagai hab perkhidmatan warga emas

Kerajaan komited dalam usaha persiapan Negara Tua 2030 dengan memperkasakan kepelbagaian fungsi PAWE. PAWE disasarkan untuk menjadi Hab atau pusat aktiviti dan perkhidmatan setempat yang mesra warga emas dalam komuniti. Sebagai projek rintis, dimaklumkan bahawa PAWE di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan PAWE di Universiti Islam Malaysia (UIA) telah diperkasakan fungsinya menjadi hab pembelajaran sepanjang hayat. PAWE UKM menfokuskan kepada kesihatan warga emas, manakala PAWE di UIA memfokuskan kepada pengajian Islam.

Menurut beliau, bantuan kewangan keusahawanan di bawah inisatif Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA). Di bawah Inisiatif Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA), kerajaan telah memperuntukan bantuan kewangan bagi program keusahawanan untuk kumpulan sasar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan masyarakat (KPWKM) iaitu orang kurang upaya (OKU), warga emas, wanita, dan keluarga. Sebanyak RM20 juta telah diperuntukan bagi keperluan peralatan, bahan mentah, latihan, pensijilan dan sebagainya.

Untuk fasa pertama ini sebanyak lapan buah PAWE akan mendapat bantuan peruntukan di bawah PEMERKASA sebanyak RM247,433.00 iaitu:

  1. PAWE Kawanku Bandar Mersing, Johor
  2. PAWE Gua Musang, Kelantan
  3. PAWE langkawi, Kedah
  4. PAWE Alor Gajah, Melaka
  5. PAWE Kota Tinggi, Johor
  6. PAWE Kuala Kangsar, Perak
  7. PAWE Bukit Pasir, Johor
  8. PAWE Permai, Johor

Saya menyeru agar lebih banyak penyertaan PAWE dalam aktiviti penjanaan pendapatan dan keusahawanan, bagi memastikan PAWE dapat menjana pendapatan sendiri serta dapat menjayakan usaha untuk mewujudkan warga emas yang produktif.

Bantuan khas prihatin

Negara kita masih lagi berhadapan cabaran pandemik Covid-19. Bagi memastikan warga emas dilindungi, bantuan Khas PRIHATIN berjumlah RM1,074,200.00 telah disalurkan kepada semua PAWE pada tahun 2020, di mana setiap PAWE telah menerima sebanyak RM8,200.00. Bantuan ini bertujuan bagi pembelian peralatan penjagaan kesihatan dan bekalan makanan untuk ahli PAWE yang terjejas sepanjang tempoh pelaksanaa PKP. Seramai 15,000 orang ahli PAWE telah menerima manfaat menerusi peruntukan ini.

Pelaksanaan program imunisasi Covid -19 kebangsaan

Beliau berkata, kerajaan telah mengadakan Program Imunisasi Covid Kebangsaan yang meletakkan keutamaan kepada warga emas, pesakit yang mempunyai penyakit kronik dan orang kurang upaya (OKU). Sehingga 8 September 2021, seramai 22,120 orang ahli PAWE telah menerima suntikan vaksin. Secara keseluruhannya, lebih 3 juta warga emas di Malaysia telah menerima vaksin Covid-19.

Beliau menyeru kepada semua, terutamanya warga emas yang masih belum mendapatkan vaksin, supaya mendaftarkan diri dan mendapatkan suntikan lengkap melalui saluran yang kerajaan sediakan. Semua ahli keluarga perlu bantu pastikan ibu bapa kita semua telah berdaftar dan mendapat suntikan vaksin yang lengkap. Pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera, laman web yang disediakan Jawatan Kuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19, atau menghubungi klinik kesihatan yang berdekatan bagi tujuan pendaftaran.

Kesukarelawan di PAWE

Dalam usaha memastikan warga emas dapat bersama-sama menyumbang tenaga dan bakti serta kepakaran dalam komuniti, program SUKARELAWAN@PAWE dengan kerjasama Institut Sosial Malaysia (ISM) telah dilaksanakan sebagai projek rintis. Seramai 25 orang ahli PAWE telah mengikuti Bengkel Asas Kesukarelawan bertempat di Kangar, Perlis.

Penyertaan warga emas dan pelbagai peringkat umur dalam aktiviti kesukarelawan, sebenarnya telah lama wujud dalam masyarakat kita. Dengan pelaksanaan dan latihan yang lebih tersusun, kita harapkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat dan bangsa ini akan menjadikan kita lebih kuat sebagai satu Keluarga Malaysia sebagaimana yang telah dihasratkan oleh YAB Perdana Menteri.

Inisiatif kebajikan dan pemerkasaan warga emas oleh KPWKM

Beliau berkata, menyedari pentingnya mengekalkan warga emas untuk terus produktif, berdaya saing dan sejahtera, KPWKM telah merangka dan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif dengan mengarusperdanakan dasar dan program berkaitan penuaan melalui penggubalan Akta Warga Emas, Penambahbaik Pelan Tindakan Warga Emas 2021-2030 dan Pembangunan Indeks Kesejahteraan Warga Emas dan Pembangunan Sistem Pendaftaran Warga Emas Nasional (E-Wen).

Firman Allah SWT di dalam Surah Ar-Rum, ayat 54 bermaksud: “Allah-lah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) setelah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) setelah kuat itu lemah (kembali) dan beruban. Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki. Dan Dia Maha Mengetahui, Maha Kuasa”.

Beliau mengingatkan kesedaran mengenai penuaan perlu diterapkan daripada peringkat awal sebagai persediaan menghadapi usia tua. Pelbagai aspek perlu diambil kira khususnya aspek emosi, kewangan, kesihatan, persekitaran, persediaan minda dan sebagainya.

Adalah menjadi harapan kementerian untuk meningkatkan fungsi PAWE sebagai pusat komuniti yang unggul, bukan sahaja dapat memberi manfaat yang optimum kepada warga emas, tetapi juga merupakan satu pusat komuniti setempat yang dapat memberi manfaat, menyumbangkan kepakaran kepada komuniti serta dapat memupuk amalan gaya hidup sihat di kalangan masyarakat.

Kepada semua Pertubuhan PAWE, tahniah dan terima kasih atas usaha keras tuan puan dalam memastikan pusat aktiviti warga emas ini sentiasa beroperasi dengan baik. Pesanan beliau, uruskanlah PAWE masing-masing dengan penuh bertanggungjawab.

Carilah ruang dan peluang untuk menambah baik program-program atau aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan di PAWE supaya kekal relevan dan bersesuaian dengan situasi semasa sebagai satu keluarga malaysia yang utuh. Beliau percaya anda semua mampu melakukannya. – HARAKAHDAILY 22/9/2021

- Advertisement -