Pembinaan projek PPR mampu tingkat produktiviti

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menambahbaik lagi Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi memberi keselesaan kepada penghuninya terutamanya golongan B40.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, PPR sebelum ini dibina dengan keluasan 600 kaki persegi.

Bagaimanapun katanya, projek perumahan baru termasuk di Besut akan diperluaskan kepada 900 kaki persegi bagi keselesaan penghuninya.

- Advertisement -

“Kementerian juga mengambil kira pembinaan PPR mampu memberi produktiviti kepada golongan B40 termasuk mengambil kira kemudahan internet bagi memudahkan program pembelajaran secara atas talian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Dato’ Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) pada persidangan Parlimen, hari ini.

Sebelum itu, Che Abdullah membangkitkan usaha-usaha kerajaan bagi membina PPR yang lebih selesa kepada rakyat.

Reezal Merican juga berkata, kerajaan akan memastikan 154 PPR yang dibina kerajaan di seluruh negara mampu memenuhi spesifikasi dayahuni.

Sebelum ini kerajaan mengumumkan akan menambah baik pelaksanaan PPR dengan menjenamakan semula sebagai Rumah Malaysia bagi projek baharu tahun ini.

Beberapa aspek ditambah baik bagi meningkatkan taraf hidup penghuninya terutamanya golongan B40.

Antara penambahbaikan tersebut iaitu keluasan lantai Rumah Malaysia tidak kurang 900 kaki persegi, perlu dilengkapi fasiliti yang lengkap serta kadar sewa diselaras.

Tahun ini sebanyak 11 program Rumah Malaysia dibangunkan di seluruh negara membabitkan 4,120 unit kediaman. – HARAKAHDAILY 22/9/2021

- Advertisement -