Ubat gigi tanpa kotak?

SETIAP tahun pertubuhan-pertubuhan dan persatuan-persatuan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia diwajibkan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan mereka. Di antara keperluan pada mesyuarat agung adalah membentangkan laporan kegiatan tahunan dan laporan kewangan. Bagi pertubuhan yang memiliki cawangan-cawangan, laporan mereka juga turut dibentangkan atau dilaporkan. Jika di peringkat Kebangsaan atau pusat perlu disertakan laporan negeri-negeri. Sudah tentu bagi organisasi yang besar, program tahunan seperti ini akan melibatkan beribu-ribu orang perwakilan.

Bagi Parti Islam Se-Malaysia (PAS), lazimnya hampir 2,000 perwakilan akan terlibat bagi Muktamar di peringkat Pusat. Jika setiap perwakilan dibekalkan dengan laporan-laporan tersebut dan beratnya adalah 1 kg maka sebanyak 2,000 kg kertas yang akan diedar kepada para perwakilan. Ini tidak termasuk buku-buku cenderamata dan risalah-risalah yang lain. Tetapi di manakah perginya laporan-laporan tersebut selepas Muktamar? Mungkin ada yang disimpan untuk rujukan di masa akan datang tetapi ada yang sekadar disimpan dan dilupakan. Atau ada yang dibuang begitu sahaja. Ini bermakna kertas-kertas seberat 2 kereta Perodua MyVi terpaksa dilupuskan setiap kali Muktamar PAS diadakan. Perkara yang sama mungkin berlaku kepada parti-parti politik atau pertubuhan-pertubuhan yang lain.

Advertisement

Walau bagaimanapun terdapat penyelesaian yang dapat mengatasi masalah ini dan yang lebih mesra alam. Kenapa tidak dibekalkan laporan-laporan di dalam bentuk ‘softcopy’ yang boleh dimuat turun kepada telefon para perwakilan? Mungkin hanya dokumen yang penting sahaja yang dicetak dan diedar. Hari ini hampir setiap orang memiliki telefon pintar dan ini dapat menjimatkan jumlah kertas yang digunakan. Bukan sahaja ia dapat menjimatkan kos tetapi ia dapat mengurangkan sisa pepejal yang terjana. Pertama kali saya menjadi perwakilan Muktamar PAS adalah pada tahun 1993 dan laporan-laporan sejak itu jarang atau tidak pernah saya rujuk. Ia hanya memakan ruang di rumah saya dan menunggu masa untuk dilupuskan.

Perkara yang sama boleh diamalkan di peringkat negeri-negeri atau di peringkat-peringkat lain. Notis-notis mesyuarat dan minit-minit mesyuarat juga telah mulai tidak dicetak lagi tetapi dihantar secara di atas talian. Amalan ini mula menjadi kebiasaan ketika pandemik COVID-19 di mana pertemuan dan mesyuarat di atas talian menjadi sebahagian norma baharu. Di dalam sektor swasta, bank-bank dan syarikat-syarikat kad kredit juga tidak lagi menghantar penyata tetapi pelanggan boleh menyemaknya secara di atas talian.

Hari ini kita perlu sentiasa proaktif memikirkan cara untuk mengurangkan sisa pepejal yang dihasilkan. Sisa yang dijana jika tidak diasingkan dan dikitar semula akan dihantar ke tapak pelupusan sampah. Tapak-tapak ini pula memiliki jangka hayatnya yang tersendiri. Apabila ia penuh, tapak yang baharu perlu dicari. Walaupun terdapat inisiatif baharu untuk menjana tenaga dari sisa melalui projek ‘Waste-To-Energy’ (WTE) seperti yang akan dilaksanakan di Selangor namun begitu pengurangan sisa terutamanya sisa domestik tidak boleh diabaikan.

Kadang-kala kita tidak sedar terdapat banyak perkara-perkara di sekeliling kita yang merupakan penyebab kepada peningkatan sisa buangan. Terdapat kotak atau pembalut untuk produk-produk kegunaan harian yang tidak mempunyai apa-apa fungsi kecuali sebagai tarikan kepada pengguna. Ianya akan dibuang sebaik sahaja kita tiba di rumah. Di satu masa dahulu ada produk coklat yang dibalut 3 lapis mungkin supaya kelihatan eksklusif. Di luar sekali adalah kertas pembalut berwarna-warni. Lapisan kedua juga adalah kertas dan lapisan terakhir adalah kertas timah. Tetapi hari ini produk tersebut hanya dibungkus dengan satu lapis sahaja.

Satu lagi kotak yang mungkin fungsinya boleh dipertikaikan adalah ubat gigi. Tiub ubat gigi dijual di dalam kotak tetapi kita akan membuang kotak tersebut apabila hendak menggunakannya. Walaupun kotak ini kelihatan tidak penting kerana hanya lebih kurang 3 gm setiap satu tetapi satu anggaran yang dibuat di India menunjukkan 20,460 tan sisa setahun terhasil dari penggunaan ubat gigi di negara tersebut. Mungkin kerana itu, di sebuah negara Eropah, Iceland, 90 peratus dari ubat gigi yang dijual adalah tanpa kotak.

Kebanyakan dari kita akan mengambil mudah akan isu-isu seperti ini kerana ia bukan satu isu sensasi yang akan dipolitikkan. Ramai yang tidak sedar akan kesannya kepada alam sekitar dan juga yang paling penting kesannya kepada kita semua. Ketika di dalam kerajaan saya kerap menekankan betapa penting kita membawa bekas sendiri apabila membeli makanan dan tidak menggunakan bekas ‘polystyrene’. Ramai yang mungkin menganggap perkara ini tidak penting. Tetapi ramai yang mula sedar apabila mendapati longkang di taman perumahan mereka tersumbat dan apabila dianjurkan gotong-royong untuk membersihkannya mendapati ia dipenuhi dengan bekas-bekas ‘polystyrene’, beg-beg plastik dan penyedut minuman (straw).

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 21/9/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000270189106/posts/4693660167319610/