Kelantan perluas teknologi dron tingkat pengeluaran padi

- Advertisement -

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

PASIR PUTEH: Kelantan akan memperluaskan penggunaan teknologi dron bagi meningkatkan lagi pengeluaran padi membabitkan kawasan lebih 30,000 hektar.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, peruntukan sejumlah RM200,000 disediakan bagi tujuan itu tahun ini.

- Advertisement -

Katanya, sawah padi berkenaan sebahagian besarnya terletak di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).

“Teknologi tersebut dapat menjimatkan kos, meningkat hasil padi dan mengurangkan masa serta tenaga,” katanya kepada pemberita pada Program Demontrasi Pengendalian Dron Agriculture Drone Pilot (ADP)-Al-Falah Drone Darul Naim di bendang Kampung Jelor dekat sini, hari ini.

Program berkenaan anjuran bersama Kolej Komuniti Sabak Bernam, Politeknik Jeli, Politeknik Kota Bharu dengan kerjasama Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB).

Tuan Mohd Saripudin berkata, selain itu ia juga bertujuan menggalakkan golongan muda terutama mahasiswa mencebur diri dalam bidang pertanian moden.

Katanya mereka perlu menggantikan petani yang berusia kerana mereka tidak mampu lagi mengerjakan sawah.

Menurutnya juga bagi menjayakan program itu seramai 30 pelajar Politeknik Kota Bharu dan Kolej Komuniti Jeli dilatih mengikut kaedah pengendalian dron sehingga mereka mendapat sijil.

Katanya juga pada peringkat permulaan kerajaan negeri bercadang membeli tiga dron dan akan ditambah mengikut peruntukan yang ada tahun depan.

Semenetara itu Pegawai Perhubungan Awam Kolej Komuniti Sabak Bernam Mohd Rizal Mohd Tayab berkata, penggunaan dron memberi banyak faedah terutamanya menjimatkan masa.

“Kalau satu hektar mengambi masa 12 hingga 15 minit sahaja berbanding cara biasa mengambil masa sehingga berjam-jam.

“Begitu juga penggunaan racun hanya mengikut yang diperlukan sahaja iaitu kaedah penyemburan halus hanya memerlukan 32 liter berbanding 128 liter cara biasa.

“Sebab itu kita perlu melahirkan pilot dron yang cekap sehingga dapat menjimatkan kos sekurang-kurangnya 25 peratus sehektar,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/9/2021

- Advertisement -