Jemaah haji tahun 2020 dapat keutamaan

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberi keutamaan kepada jemaah haji yang sepatutnya menunaikan haji tahun lalu mengerjakan ibadah itu pada tahun hadapan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata jemaah haji yang dijadualkan menunaikan haji pada tahun ini dan tahun hadapan pula akan diberi peluang jika terdapat kekosongan kuota.

- Advertisement -

Katanya, Tabung Haji juga telah memulakan persediaan untuk menghadapi musim haji tahun hadapan sebaik sahaja ibadah haji tahun ini tamat.

“Perancangan utama Tabung Haji sekarang adalah pemilihan bakal haji yang tertakluk kepada kuota rasmi kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia. Kriteria lain berhubung pemilihan jemaah pula akan diumumkan oleh Arab Saudi pada masa akan datang,” katanya menjawab soalan lisan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Marzuk berkata, Tabung Haji juga akan membuat penilaian terhadap ibadah haji tahun ini lebih awal sebagai persediaan menghadapi musim haji tahun hadapan.

Katanya, tindakan itu bertujuan untuk memahami dengan lebih mendalam prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan yang dilaksanakan kerajaan Arab Saudi.

Selain itu, katanya Tabung Haji akan menganjurkan Muzakarah Haji Kebangsaan untuk menyeragamkan hukum-hakam ibadah haji dalam suasana wabak Covid-19, manakala kursus asas haji untuk bakal jemaah haji akan diadakan secara dalam talian sebanyak 14 siri.

“Tabung Haji juga bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat perancangan berhubung urusan pemeriksaan kesihatan dan vaksinasi bakal haji berdasarkan peraturan ditetapkan Kementerian Kesihatan Arab Saudi

“Selain itu, Tabung Haji merancang mengadakan lawatan ke Tanah Suci dalam masa terdekat untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak berkuasa Arab Saudi bagi mendapatkan penjelasan terperinci berkaitan peraturan urusan haji dan persiapan musim haji tahun hadapan,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/9/21

- Advertisement -