6 perkara perlu diketahui mengenai Sidang DUN Kedah

- Advertisement -

SIDANG DUN Kedah sedang berlangsung. Bermula semalam 20 hingga 23 September 2021. Ada enam (6) perkara penting yang perlu diketahui mengenai sidang DUN Kedah kali ini. 

Pertama: Maksud di sebalik nama persidangan


Setiap persidangan mempunyai satu nama yang khusus. Ianya dibuat bagi membezakan antara satu persidangan dengan persidangan yang lain dan memudahkan rujukan. Bagi persidangan kali ini, namanya ialah Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kedah Yang Ke-14.

‘Mesyuarat Pertama’ merujuk kepada bilangan persidangan yang diadakan di dalam satu-satu tahun kalendar Masihi. Manakala ‘Penggal Keempat’ pula merujuk kepada tahun yang keempat pentadbiran Kerajaan Negeri sejak berlakunya Pilihan Raya Umum yang lalu. Dan ‘Dewan Undangan Negeri Kedah Yang Ke-14’ pula merujuk kepada DUN Kedah yang terbentuk setelah berlakunya Pilihan Raya Umum kali ke-14. Begitulah seterusnya. 

- Advertisement -

Kedua: Agenda Titah Ucapan DYMM Tuanku

Setiap kali ‘Mesyuarat Pertama’, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Sultan akan bertitah merasmikan persidangan sebagai simbol kepada sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan. Titah Ucapan DYMM Tuanku dianggap sebagai ucapan dasar atau ‘policy statement’ yang akan menyentuh mengenai perkara-perkara dasar dan aktiviti pentadbiran yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri. Setakat ini, Titah Ucapan DYMM Tuanku Sultan berlaku sekali sahaja dalam setahun, sama seperti Titah Ucapan Seri Paduka Baginda (SPB) Yang di-Pertuan Agong yang juga berlaku sekali dalam setahun di peringkat Dewan Parlimen. 

Titah Ucapan ini kemudiannya akan dibahas oleh Ahli-ahli Yang Berhormat di dalam satu agenda khusus yang dinamakan Usul Menjunjung Kasih terhadap Titah Ucapan DYMM Tuanku. Ketika inilah Ahli-ahli Yang Berhormat akan membangkitkan pelbagai isu dan memberikan pandangan dan kritikan terhadap perjalanan pentadbiran kerajaan negeri, sebagai mewakili suara rakyat dari kawasan masing-masing. 

Bagi Kerajaan Negeri Kedah di era pentadbiran YAB Tuan Muhammad Sanusi Md Nor, ini adalah Titah Ucapan DYMM Tuanku yang pertama. Titah Ucapan ini merupakan indikator utama sejauh mana DYMM Tuanku berpuas hati dengan kepimpinan dan pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah pada masa kini. 

Ketiga: Isi penting di dalam Titah Ucapan DYMM Tuanku

Di dalam sidang yang berlangsung pada hari pertama, terdapat 13 isi penting yang perlu diberi perhatian:

1. Bencana kepala air di Gunung Jerai.
2. Situasi rakyat pasca Pandemik COVID-19.
3. Pengurusan vaksin COVID-19.
4. Bantuan kepada rakyat yang terkesan akibat COVID-19.
5. Perancangan pemulihan ekonomi negeri.
6. Prestasi pelaburan di Negeri Kedah yang membanggakan.
7. Pelan Pembangunan Kedah 2035.
8. Prestasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
9. Pemeliharaan alam sekitar dan sumbernya.
10. Pemulihan sektor pelancongan pasca COVID-19.
11. Penyelenggaraan, kebersihan dan kekemasan di kawasan perbandaran.
12. Kemelut politik dan sifat negarawan ahli politik.
13. Kebijaksanaan di dalam perbahasan Dewan.

Keempat: Penggunaan Hadis, kata hikmah dan pepatah Melayu di dalam Titah Ucapan DYMM Tuanku

Di dalam Titah Ucapan DYMM Tuanku, terdapat 1 Hadis, 1 kata hikmah dan 1 pepatah Melayu digunakan bagi menjelaskan lagi maksud mesej yang disampaikan.

1. Hadis Rasulullah S.A.W mengenai penawar penyakit. Diriwayatkan oleh Anas Bin Malik, Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya ketika Allah menciptakan penyakit, diciptakan juga penawarnya. Maka, berubatlah kamu”. Hadis ini digunakan sebagai rujukan di dalam Titah Ucapan Tuanku bagi merujuk kepada keharusan penggunaan vaksin di dalam menangani wabak COVID-19. 

2. Kata hikmah oleh James Freeman Clarke, seorang tokoh Amerika Syarikat pada kurun ke-19: “A politician thinks of the next election, a stateman thinks of the next generation“. Kata-kata ini ditujukan Baginda Tuanku khusus kepada para ahli politik, supaya memiliki sifat negarawan. 

3. Pepatah Melayu: ‘Bagaimana bunyi gendang, begitulah tarinya’. Pepatah ini digunakan oleh Baginda Tuanku juga khusus kepada para Ahli Yang Berhormat agar berbahas dengan baik di dalam sidang kali ini, kerana ia akan memberi kesan kepada rakyat di luar. 

Kelima: Pengetahuan DYMM Tuanku mengenai kemajuan Negeri Kedah

Perlu diketahui, walaupun Titah Ucapan DYMM Tuanku di dalam DUN ini hanyalah sekali sahaja dalam setahun, namun Baginda sangat mengikuti rapat semua perkembangan Kerajaan Negeri Kedah. Baginda akan menerima laporan daripada memanda Menteri Besar (MB) Baginda secara mingguan, di dalam Majlis Mengadap khas yang berlangsung pada setiap hari Selasa, setiap minggu. Sejak berlakunya Pandemik COVID, kebanyakan sesi mengadap tersebut berlaku secara maya. 

Kebiasaannya, satu-satu sesi mengadap akan mengambil masa antara dua (2) hingga tiga (3) jam. Ya, memang lama. YAB Menteri Besar (MB) akan membentangkan laporan mingguan mengenai kemajuan Kerajaan Negeri, termasuk isu-isu semasa yang berbangkit. Pembentangan tersebut berlaku secara dua hala, pembentangan dari YAB MB yang lengkap dengan data, angka dan fakta, serta pertanyaan balas daripada DYMM Tuanku. Walaupun sesi tersebut hanya melibatkan dua individu sahaja (DYMM Tuanku Sultan dan YAB MB), namun sesi tersebut umpama satu ‘Pra-Sidang DUN’. Ini menunjukkan betapa dekatnya Negeri Kedah dengan hati sanubari DYMM Tuanku, dan betapa eratnya hubungan DYMM Tuanku dengan YAB MB. 

Justeru, tidak hairanlah DYMM Tuanku menzahirkan penghargaan di atas kejayaan-kejayaan yang dilakukan oleh YAB MB dan Kerajaan Negeri Kedah di dalam mentadbir negeri, khasnya ketika tempoh Pandemik COVID-19 ini.

Keenam: Sidang norma baharu

Persidangan kali ini berlangsung dalam keadaan norma yang baharu. Kedudukan ADUN di dalam dewan telah diubah suai supaya mematuhi penjarakan fizikal antara satu sama lain. Selain itu, bilangan kehadiran juga dihadkan hanya kepada ADUN dan Ketua Jabatan yang berkenaan sahaja. Manakala ujian pemeriksaan COVID-19 pula perlu dilaksanakan oleh setiap orang yang hadir pada setiap hari sepanjang tempoh persidangan. Jika 4 hari persidangan, maka 4 kalilah mereka perlu melakukan pemeriksaan. Bagi Titah Ucapan Tuanku dan sidang media pula, kedua-duanya dilaksanakan secara sidang video, bagi mengawal bilangan kehadiran dan mematuhi SOP berkaitan. 

Buat Ahli-ahli Yang Berhormat yang akan bersidang, berbahaslah dengan penuh pertimbangan yang adil dan bijak. Berbahaslah bertunjangkan prinsip dan keadilan, demi Kedah yang sejahtera, agar nikmatnya dapat dikongsi oleh semua. 

Berdayung mudek ke Kuala Sepat,
Kolek bocor dikayuhi juga,
Kalau menimbang sama berat,
Kalau mengukur sama tepat.

Hijau menguning padi di sawah,
Tunduk berisi bagai nak rebah,
Pendirian kukuh tidak goyah,
Menghadap cabaran tidak gelabah.

USTAZ AFNAN HAMIMI DATO’ TAIB AZAMUDDEN– HARAKAHDAILY 21/9/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000386434949/posts/4540718525950984/?d=n

- Advertisement -