Susulan tanah runtuh: Kemensah Heights masih berisiko

- Advertisement -

KUALA LUMPUR:  Kawasan kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights, Ampang, di sini yang berlaku pada Jumaat, 17 September lepas dilihat masih berisiko tinggi untuk dihuni kerana aliran sungai yang laju dan keruh disebabkan pergerakan tanah, terutama apabila hujan lebat melanda.

Hasil tinjauan kru HarakahDaily, YUSMAN AWANG, SYAHIRAH SALLEH dan KAIROL ZULHAIDI mendapati, penduduk di kawasan berkenaan yakin kediaman mereka itu masih selamat untuk dihuni tetapi masih mengambil langkah berjaga-jaga, namun pihak Jabatan Amal Malaysia (JAM) Hulu Klang bagaimanapun tetap melahirkan kebimbangan.

- Advertisement -

Ahli Jawatankuasa (AJK) JAM Hulu Klang, Muhammad Ibrahim Khalil berkata, pihaknya tetap mengambil langkah berjaga-jaga 24 jam sekiranya berlaku kejadian tidak diingini di kawasan itu.

Menurut Ibrahim, pihak berkuasa tempatan pada Sabtu lepas sudah mengarahkan 28 keluarga yang menetap di 19 kediaman di kawasan terbabit mengosongkan kediaman mereka selepas berlaku kejadian tanah runtuh berkenaan.

Namun, masih ada penduduk di beberapa rumah di kawasan itu yang diarahkan berpindah sebaliknya mendiami rumah masing-masing pada waktu siang hari dan hanya mengosongkannya apabila menjelang malam, di samping penduduk yang mendiami kediaman lain yang tidak termasuk 19 kediaman terbabit. 

Muhammad Ibrahim.

“Kami amat bimbang kerana selepas hari kejadian, kawasan di sini masih hujan. Kita boleh lihat air sungai (Sungai Kemensah) yang terletak di bahagian belakang 19 kediaman terbabit masih keruh. Mungkin ia disebabkan aliran tanah, jadi kawasan ini masih berisiko tinggi untuk dihuni,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya, anggota keselamatan masih berjaga-jaga di sekitar kawasan kejadian sepanjang proses pembaikan dijalankan.

Malah, JAM Hulu Klang juga sentiasa ambil maklum mengenai keadaan dan situasi sebilangan penduduk 19 kediaman terbabit yang singgah ke rumah mereka pada siang hari.

Kawasan tanah runtuh di Kemensah Heights yang telah diisytiharkan oleh pihak Bencana Negeri sebagai kawasan yang tidak selamat dihuni.

Pada hari kejadian Jumaat lepas, JAM Hulu Langat telah bergegas ke lokasi kejadian untuk membantu penduduk terbabit, namun dinasihatkan anggota keselamatan supaya tidak melakukan sebarang aktiviti berikutan keadaan gelap dan berbahaya.

“Pihak kami akhirnya bersurai pada jam 2 pagi setelah yakin keadaan selamat,” katanya lagi.

Menurut  Ibrahim, kebanyakan penduduk terbabit memilih untuk menumpang di rumah saudara-mara terdekat atau menyewa di homestay dan hotel buat sementara waktu, berbanding tinggal di dewan orang ramai di  AU2 dan AU5 di Keramat yang disediakan pihak berkuasa tempatan.

Sementara itu, beberapa penduduk di lokasi kejadian turut berkongsi pengalaman dan tindakan yang diambil ekoran kejadian tanah runtuh itu. 

Sehubungan itu tinjauan HarakahDaily hari ini mendapati, beberapa penduduk turut menyaksikan gerak kerja yang dikenali sebagai ‘driven point’ sedang giatkan dijalankan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor di sepanjang tebing sungai yang terkesan dengan kejadian tanah runtuh berkenaan.

Berkongsi maklumat mengenai perkara tersebut, pesara kerajaan, Rashid Che Mia, 57, berkata, ‘driven point’ yang sedang dilaksanakan oleh JPS Selangor itu melibatkan kerja-kerja pemasangan ‘sheet pile’ atau cerucuk besi di sepanjang 200 meter Sungai Kemensah yang terletak betul-betul di belakang kediamannya bermatlamat untuk mengembalikan keadaan semulajadi sungai berkenaan. 

Terdahulu, Pengarah JPS Selangor, Dato’ Ir Gapar Asan berkata, kerja-kerja memasang cerucuk besi di kawasan tanah runtuh itu hanya dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Mineral dan Geologi Sains (JMG).

Rasyid Che Mia.

Menurutnya, pemasangan cerucuk besi berkenaan adalah bertujuan untuk menahan sementara bahagian tebing tanah sungai itu daripada runtuh semula. 

Semalam, JPS Selangor telah selesai melakukan kerja-kerja penggalian Sungai Kemensah meliputi kawasan tanah runtuh berkenaan.

Dalam pada itu ujar Rashid, dia berterima kasih kepada pihak berkuasa kerana melakukan tindakan yang sangat pantas dalam menangani kejadian tidak diduga itu.

“Alhamdulillah, satu langkah segera telah dilaksanakan pihak terbabit dan saya amat berharap agar kami dapat kembali ke rumah masing-masing dengan seberapa segera,” ujarnya.

Menceritakan tentang pengalamannya pada malam kejadian tanah runtuh itu, Rasyid berkata, dia tiada di rumah pada waktu kejadian kerana berada di Johor, namun keluarganya yang terdiri daripada isteri, anak-anak dan cucu-cucu ada di rumah berkenaan ketika kejadian itu berlaku pada Jumaat berkenaan, jam 9.20 malam.

“Penduduk Kemensah Heights segera menghubungi polis dan bomba sejurus selepas mengetahui tentang kejadian tanah runtuh itu. Pihak polis dan bomba tiba dengan pantas tidak sampai setengah jam selepas itu. 

“Mereka lantas meninjau kawasan belakang rumah kami dan mendapati ketika itu masih ada lagi tanah runtuh sedang berlaku dan terus mengarahkan semua penduduk di sini supaya segera mengosongkan rumah masing-masing. Namun hanya 19 buah rumah yang mengikut arahan untuk mengosongkan tempat kediaman,” katanya kepada HarakahDaily.

Menurutnya lagi, pihak berkuasa telah mengarahkan semua penduduk untuk berlindung buat  sementara waktu di dewan orang ramai di AU2 dan AU5 di Keramat.

“Namun, saya agak khuatir dengan wabak Covid-19 ketika ini, lagipun saya mempunyai anak dan cucu yang masih belum lagi divaksin. Justeru, saya dan ramai penduduk di sini mengambil keputusan untuk menyewa di homestay dan hotel-hotel yang berdekatan.

“Saya berharap agar masalah ini dapat diselesaikan dengan segera bagi membolehkan penduduk Kemensah Heights kembali ke rumah masing-masing,” ujarnya.

Sementara menurut Ramiza Razali, 35, dia baru sahaja hari ini membuat laporan polis yang bertujuan sebagai langkah keselamatan dan ia adalah satu keperluan untuk membuat tuntutan sekiranya berlaku perkara tidak diingini.

Mengimbas kembali pada hari kejadian tanah runtuh itu, dia dan keluarganya terdengar bunyi seakan guruh yang kuat dan selepas itu jiran-jiran memaklumkan terdapat runtuhan di belakang rumah mereka.

Ramiza Razali.

“Sejurus selepas bomba tiba, kami semua diarahkan keluar bagi tujuan keselamatan dan diminta untuk mengosongkan rumah masing-masing,” ujarnya

Menurutnya lagi, perkara yang paling dia bimbangkan adalah akan berlaku lagi pergerakan tanah yang pasti menyebabkan kedudukan tanah di kawasan berkenaan menjadi tidak stabil. 

“Saya juga bimbang sekiranya runtuhan itu jatuh dan menghempap bahagian belakang kediaman penduduk, ia akan memberi kesan kepada rumah-rumah yang lain di sini,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Razali Samsuddin, 63, berkata, ketika kejadian, beliau baru usai makan malam dan solat Isyak, apabila kemudian terdengar bunyi tanah menggelungsur dengan kuat seperti bunyi guruh.

Menurutnya, dia menyangka ia adalah bunyi bunga api, namun tidak lama kemudian jirannya datang untuk memaklumkan berhubung kejadian itu.

“Tebing dari kawasan perumahan Kemensah Heights itu runtuh dan menutupi sungai di belakang rumah saya. 

“Apabila ia menutup sungai di belakang rumah saya ini, air sungai pun naik. Apabila air naik, tempias tanah yang runtuh itu memercik ke bahagian belakang rumah saya,” ujarnya.

Selepas kejadian, kata Razali, dia dan jiran-jirannya tidak dibenarkan untuk menghuni di kediaman mereka itu, namun anggota keselamatan masih membenarkan mereka untuk menjenguk kediaman masing-masing pada waktu siang.

Razali Samsuddin.

Menurutnya lagi, pada waktu siang dia akan datang untuk melihat rumahnya dalam masa sama masih berjaga-jaga dan memerhatikan paras air sungai, terutama sekiranya berlaku hujan.

“Pada waktu malam pula, saya akan menumpang di rumah anak saya yang tinggal berdekatan Kemensah Heights ini.

“Saya bagaimanapun akur dengan kejadian tersebut dan tidak mempertikaikan sebarang punca kejadian, dan menganggap ia sebagai satu ujian Allah SWT tanpa menyalahkan sebarang pihak,” katanya.

Selepas kejadian, kata Razali, dia berkesempatan bertemu mata dengan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Dato’ Takiyuddin Hassan dan Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Terdahulu, pihak Bencana Negeri mengisytiharkan kawasan tanah runtuh di Kemensah Heights, di sini sebagai kawasan bencana dan tidak selamat untuk dihuni – HARAKAHDAILY 20/9/2021

- Advertisement -