Ustaz Rosli azam gantikan rumah usang warga emas

rumah
- Advertisement -

KUANTAN: PAS Kawasan Kuantan telah mengadakan gotong-royong menanggalkan semua bahan binaan struktur rumah usang yang didiami seorang warga emas, Inin Mahmud, 81, di Kampung Baru, Tanjung Lumpur, di sini semalam.

- Advertisement -

Kerja-kerja membersihkan tanah ini adalah kerana pemilik telah menjualnya kepada pemaju di mana akan menjalankan kerja pembangunan tidak lama lagi dan bahan binaan yang masih baik akan digunakan semula bagi membina kediaman untuk Inin.

Yang Dipertua PAS Kuantan, Ustaz Rosli Abdul Jabar sendiri mengetuai usaha ini disertai pimpinan PAS Kuantan lainnya iaitu Setiausaha II, Razali Nor dan Ketua Pemuda, Khairul Nizam Che Mustofai serta Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan, Nawi Abdullah.

Menariknya, turut menjayakan gotong-royong ini selain daripada ahli-ahli PAS dan anggota Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Kuantan, adalah sahabat politik PAS iaitu daripada Umno Cawangan Kuantan Utara, GERAKAN dan Skuad Sabil.

Ustaz Rosli yang juga ADUN Tanjung Lumpur memberitahu, warga emas tersebut hidup serba kekurangan di mana pihaknya amat bersimpati dan terkesan dengan keadaannya serta berjanji membina rumah baharu untuk Inin.

Beliau berharap rumah baharu bakal dibina nanti akan membolehkan warga emas itu berteduh dengan lebih selesa serta dilengkapi dengan peralatan asas yang seadanya serta sesuai dengan keperluan kehidupannya.

“Menyedihkan, rumah usang yang didiami selama ini atas tanah orang dan pemaju telah membeli tanah tersebut dan akan dibangunkan dalam masa terdekat. Beliau juga ibu tunggal di mana selama ini makan dan minumnya mengharapkan ehsan daripada jiran di sekelilingnya.

“Apalah dayanya dalam situasi ini untuk menyewa rumah lain, jauh lagilah untuk membina sebuah rumah,” ujar beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang.

Menurut Ustaz Rosli, rumah yang akan dibina dalam masa terdekat nanti berukuran 15 X 10 kaki dan akan dibina dengan anggaran kos antara RM15,000 hingga RM18,000 di atas tanah anak saudaranya, Nordiyana Aziz di kampung sama.

“Dana untuk tampung kos membina rumah ini telah dilancarkan. Kerja pembinaan akan dimulakan minggu hadapan dan Inin ditumpangkan di rumah orang sementara menunggu rumah siap.

“Selain dana dari Pejabat ADUN Tanjung Lumpur sendiri, saya juga mengharapkan para dermawan di luar sana turut membantu sama,” seru beliau yang diketahui begitu komited menyalurkan bantuan seumpama.

Para dermawan yang prihatin dan berhasrat membantu boleh menyalurkan ke akaun Maybank 5562 2640 2358 Dana Kebajikan Rakyat Dun Tanjung Lumpur dan sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 019-950 3904 atau 014-506 1800.

Terdahulu, dana tabungan tersebut aktif digunakan untuk menyiapkan dan membaiki rumah-rumah masyarakat daif dan memerlukan dalam DUN ini. – HARAKAHDAILY 20/9/2021

- Advertisement -