Solat Jumaat di Kelantan, 40 jemaah dibenarkan

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) membenarkan seramai 40 jemaah untuk menunaikan solat Jumaat fardu di semua masjid di negeri itu berkuat kuasa hari ini.

Turut dibenarkan dengan bilangan jemaah yang sama bermula hari  ini solat fardu di semua masjid, surau dan musolla di seluruh negeri.

- Advertisement -

Ketetapan terbaharu berkaitan solat Jumaat dan fardu telah diperkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam Negeri seperti peruntukan Perkara 6 (1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan. 

Yang Dipertua Maik, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dalam kenyataan rasmi berkata, kebenaran itu diberikan kepada kakitangan masjid dan jemaah terpilih dengan syarat sudah lengkap seperti  dua dos vaksin.

Selain itu kata beliau, para penerima vaksin jenis Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac juga wajib melepasi hari ke-14 daripada tarikh suntikan dos kedua terlebih dahulu.

“Bagi penerima vaksin satu dos suntikan iaitu Johnson & Johnson dan CanSino, mereka perlu melepasi hari ke-28 daripada tarikh suntikan.

“Kakitangan masjid dan jemaah yang hadir diwajibkan memakai pelitup muka dan digalakkan memakai dua lapis pelitup muka,” katanya.

Beliau yang juga Tengku Temenggong Kelantan turut mengingatkan, pihak pengurusan perlu membuka semua pintu dan tingkap serta menghidupkan kipas bagi memastikan sistem pengudaraan yang baik manakala penggunaan pendingin hawa tidak digalakkan.

“Tempoh aktiviti di dalam masjid dan surau perlu disingkatkan untuk aktiviti yang wajib sahaja iaitu satu jam sebelum solat Jumaat dan 30 minit bagi solat fardu,” ujarnya.

Menurutnya lagi, pengurusan masjid dan surau perlu membuat penandaan antara jemaah dengan jarak sekurang-kurangnya dua meter.

“Ketetapan terbaharu berkaitan solat fardu dan Jumaat telah diperkenan Baginda sebagai Ketua Agama Islam Negeri seperti peruntukan Perkara 6 (1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/9/2021

- Advertisement -