Pemuda semarak misi ‘Islam Memperkukuh Perpaduan’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Pemuda PAS Malaysia telah mengadakan program Ziarah Perpaduan sempena Hari Malaysia dan Perayaan Kuih Bulan ke beberapa pertubuhan dan syarikat di sekitar bandar raya ini, kelmarin.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khiruddin memimpin delegasi yang disertai Bendahari, Ustaz Roslan Md Esa dan Penolong Bendahari, Faizuddin Zai serta Ketua Sektor Pendidikan, Muhtar Suhaili.

- Advertisement -

Juga Timbalan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional, Dr Mohd Firdaus Azim dan Timbalan Pengarah Lajnah Kesenian, Kebudayaan dan Kesukanan, Muhammad Fadzli Abu Bakar serta Ahli Jawatankuasa Lajnah Perpaduan Nasional, Mohd Aaafifuddin Azhar.

Delegasi telah ke pejabat Pertubuhan Buddhist Maha Vihara di Brickfields bertemu Presiden Buddhist Missionary Society Malaysia (BMSM), Loh Pai Ling dan Pengerusi BMSM Cawangan Kajang, Ng Lai Peng.

Delegasi juga berpeluang bertemu dengan Ketua Pemimpin Tertinggi Buddhist Malaysia, Dato’ Kirinde Sri Dhammaratana dan Presiden Persatuan Sasana Abhiwurdhi Wardhana, Sirisena Perera.

Kunjungan juga dilakukan ke atas Ketua Editor Oriental Daily, Dato’ Ding Lee Leong dan tokoh media sosial, Tai Zee How yang juga dikenali sebagai Apek Cina, di syarikat akhbar tersebut.

Kedua pihak sempat berbincang untuk melibatkan potensi usahasama antara Oriental Daily dan Dewan Pemuda PAS Malaysia agar lebih banyak berita berkenaan usaha PAS dalam menyantuni rakyat pelbagai kaum dapat diterbitkan. 

Ziarah Perpaduan kali ini turut melakar sejarah tersendiri kerana pertama kali delegasi Pemuda PAS membuat kunjungan rasmi ke pejabat Pemuda MCA Kebangsaan dengan disambut Ketua Pemuda MCA, Dato’ Nicole Wong. 

Antara pimpinan MCA yang hadir adalah Naib Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Chua Hock Kuan dan ketua Pemuda MCA Negeri Selangor, Chan Wun Hoong serta Ketua Pemuda MCA Wilayah Persekutuan, Tan Teik Peng. 

Kenjungan delegasi turut ke Pejabat Pemuda GERAKAN buat julung-julung kalinya di Menara PGRM, Cheras dan telah disambut meriah oleh Setiausaha Agung Pemuda GERAKAN, Lim Si Ching.

Turut hadir Timbalan Bendahari Agung Pemuda GERAKAN, Goh Tee Loong dan Timbalan Speaker, Muruga Rajan Lingappan serta Ahli Jawatankuasa Nasional, Phaang Jing Fatt, Simon Aruldass dan Cliff Thed Wei Shiun. 

Paling mengejutkan Presiden GERAKAN, Dato’ Dr Dominic Lau Hoe Chai dan Setiausaha Agung GERAKAN, Mak Kah Keong turut meraikan kehadiran delegasi Pemuda PAS. 

Dalam lawatan ke ke Ibu Pejabat Sin Chew Daily di Petaling Jaya pula, delegasi diraikan sendiri oleh Ketua Editor, Kuik Cheng Kang bersama Timbalan Eksekutif Ketua Editor, Tay Tian Yan dan Choo Joon Kian serta Wartawan Kanan, Jenny Ngu. 

Perbincangan turut melibatkan pengukuhan hubungan antara Pemuda PAS Malaysia dan pihak Sin Chew Daily agar lebih banyak pelaporan yang dapat diterbitkan. 

Perjalanan ke Ibu Pejabat China Press di Bangsar pula walaupun dilanda hujan lebat, delegasi tetap disambut oleh wakil akhbar berkenaan iaitu Timbalan Ketua Editor Yeong Kah Choon mewakili Ketua Editor, Dato’ Teoh Yeng Khoon. 

Ziarah tamat dengan pertemuan mahabbah bersama Penasihat Association of Nexgen Christians of Malaysia (ANCOM), Jason Leong yang merupakan individu sangat penting dalam membantu dan memudahkan DPPM dalam urusan hubungan antara kaum dan agama. 

Menurut Khairil Nizam, Pemuda PAS melihat bahawa usaha membawa mesej keharmonian dan perpaduan adalah penting agar prinsip kepimpinan Islam yang tidak sama sekali akan menganaktirikan masyarakat bukan Islam dapat dihebahkan.

Iaitu jelasnya, kepada kepimpinan masyarakat bukan Islam dengan lebih efektif dengan harapan bahawa kepimpinan di peringkat negeri dapat menyambut usaha perpaduan ini agar mesej ‘Islam Memperkukuh Perpaduan’ sebagaimana yang dilontarkan oleh Presiden PAS dapat diperkemaskan. – HARAKAHDAILY 17/9/2021

- Advertisement -