Pelancong ke Langkawi keliru prosedur ujian pengesanan Covid-19

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

- Advertisement -

KANGAR: Tinjauan di Terminal Feri Kuala Perlis hari ini didapati kurang sesak berbanding semalam, sehingga menyebabkan feri pertama yang membawa penumpang lewat kira-kira 30 minit daripada jadual sepatutnya.

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah, Mohd Yusrizal Yusoff menasihatkan pelancong supaya datang lebih awal mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sebelum berlepas ke Langkawi.

“Tinjauan hari ini mendapati tidak lagi berlaku kesesakan kerana kebanyakan penumpang tidak mahu mengambil risiko, ada yang membatalkan dan menangguhkan perjalanan terlebih dahulu kerana untuk permulaan ini sudah tentu ramai pelancong hendak pergi ke Langkawi.

“Saya menasihati para penumpang agar datang lebih awal sekurang-kurangnya sejam untuk memudahkan semua pihak terutamanya feri dapat bergerak tepat pada masanya,” kata beliau pada sidang media di sini.

Menurutnya terdapat juga penumpang yang keliru dengan prosedur ujian pengesanan Covid-19 sama ada melalui kit saliva atau RTK-Antigen.

“Ujian pengesanan melalui RTK-Antigen sedikit membebankan kerana harganya sekitar RM70 sehingga RM150.

“Namun begitu sebenarnya, ujian pengesanan melalui kit saliva masih boleh digunakan dan harganya juga lebih murah berbanding RTK-Antigen iaitu sekitar RM19.90.

“Jadi saya menggalakkan mereka menjalani ujian melalui kit ini terlebih dahulu sebelum menaiki feri dan juga mematuhi SOP yang lain,” ujarnya.

Mohd Yusrizal Yusoff

Beliau turut menasihati pelancong agar tidak tertipu dengan pakej pelancongan yang ditawarkan pihak tertentu kerana didapati sudah tular di media sosial mengenai perkara itu.

“Sekiranya berlaku penipuan pakej pelancongan, mereka boleh membuat aduan melalui Kementerian Pelancongan dan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia atau boleh juga menyalurkan aduan kepada kami agar kita dapat membantu apa yang perlu.

“Kita harap pelancong lebih berhati-hati dengan pakej pelancongan yang ditawarkan, gunakan perkhidmatan pakej pelancongan yang sah dan berdaftar, jangan kerana hendak berjimat tetapi akhirnya tertipu,” ujarnya.

Menurutnya kebanyakan mereka menawarkan perkhidmatan lebih murah sehingga ada yang menawarkan pakej sehingga 70 peratus lebih murah berbanding harga biasa.

Bagaimanapun Yusrizal memberitahu setakat hari ini, aduan secara rasmi kepada persatuan belum ada, namun sudah ada penumpang yang tertipu dan membuat pendedahan di media sosial.

Kerajaan mula membuka sektor pelancongan di Langkawi bermula semalam sempena sambutan Hari Malaysia.

Sebanyak tiga trip perjalanan beroperasi dari Terminal Feri Kuala Perlis, dan akan bertambah selepas pembukaan semula Terminal Feri Kuala Kedah apabila tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kuala Kedah berakhir, 19 September ini. – HARAKAHDAILY 17/9/2021

- Advertisement -