MEMANG benar hadis Nabi mengatakan seorang mujtahid yang betul dalam ijtihadnya akan diberikan dua pahala dan yang salah mendapat satu pahala. Namun perlu difahami bahawa ijtihad yang dimaksudkan ialah ijtihad yang melalui kecukupan syarat, rukun dan kesungguhan. Sesuai dengan definisi ijtihad iaitu;
Pengertian ijtihad secara etimologi memiliki pengertian: “pengerahan segala kemampuan untuk mengerjakan sesuatu yang sulit”. Sedangkan pengertian ijtihad secara terminologi adalah penelitian dan pemikiran untuk mendapatkan sesuatu yang terdekat pada kitabullah (syarak) dan Sunnah Rasul atau yang lainnya untuk memperoleh nash yang ma’qu; agar maksud dan tujuan umum dari hikmah syariah yang terkenal dengan maslahat.
Di samping itu menurut majoriti ulamak Ushul Fiqh, pengertian ijtihad adalah pencurahan segenap kesanggupan (secara maksimal) seorang ahli Fikih untuk mendapatkan pengertian tingkat Dhanni terhadap hukum syariat.
Sifat-sifat ijtihad sebegitulah yang jika dilakukan oleh seorang mujtahid tetap akan mendapat pahala atas ijtihadnya sekali pun salah. Ini memberi makna bahawa ijtihad yang dilakukan tanpa kesungguhan dan ketelitian serta tidak disandarkan kepada maklumat yang jelas tidak termasuk dalam ijtihad yang diakui dalam Islam.
Oleh itu para ulamak bukan sahaja perlu memiliki ilmu yang mendalam mengenai hukum fiqh, namun sangat perlu juga memahami lingkungan masalah yang akan diijtihadkannya. Kegagalan memahami lingkungan masalah secara detail akan membawa kepada penghukuman secara semberono.
Lebih-lebih lagi kepada para ulamak yang hidup di zaman ini yang kebanyakan maklumat dan berita diambil dari sumber media sosial yang terbuka. Ibarat sebuah tong sampah yang boleh dicampak apa sahaja di dalamnya. Para ulamak jangan menjadi pengutip sampah yang menghukum tanpa membuat satu saringan yang teliti. Jadilah seperti pakar forensik yang tidak mudah percaya kepada suatu yang dilihat secara zahirnya.
Dunia politik yang rencam ini memerlukan bimbingan ulamak yang alim, teliti dan rabbani. Tidak mudah untuk menghukum isu dalam dunia politik ini tanpa sebuah penelitian. Isu politik tidak boleh diulas dan dihukum hanya dengan memandangnya secara pukal.
Oleh itu kepada para ulamak elakkan menjawab atau mengulas apa jua isu yang belum difahami secukupnya. Kerana dengan ulasan itu boleh jadi antum sedang menghukum orang yang tidak bersalah dan membenarkan orang yang bersalah. Percayalah, antum tidak dianggap jahil jika tidak mengulas isu yang antum tidak tahu, tetapi antum akan kelihatan bodoh jika mengulasnya dengan tidak mempunyai maklumat yang cukup.
USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 17/9/2021
Sumber Asal: https://www.facebook.com/100001490058504/posts/4527855400607417/