Kesan sisa kimia tidak halang anggota Amal curah bakti

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Di kaki Gunung Jerai Yan kelihatan kelibat ramai anak-anak muda berpakaian seragam merah, mengerah keringat bagi membantu mangsa kejadian rempuhan kepala air 18 Ogos lepas.

Mereka bekerja dan berbakti tanpa sebarang upah, sehingga melahirkan rasa terharu dalam kalangan penduduk tempatan dan pengusaha resort yang terjejas akibat tragedi tersebut.

- Advertisement -

Begitu juga di Sungai Tawakkal, Kampung Baru Sri Aman, Kempas dekat sini juga muncul anak muda berpakaian tertera nama Jabatan Amal Malaysia, mengadakan operasi pembersihan sisa kimia sungai tersebut.

Biarpun kesan sisa kimia itu boleh memudaratkan manusia, namun anggota Jabatan Amal dan Khidmat Malaysia tetap meneruskan bakti demi kesejahteraan penduduk.

Menteri Alam Sekitar dan Air Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man turt meluahkan rasa bangga dengan kehadiran anggota Jabatan Amal dan Khidmat Malaysia Johor membersih pencemaran sisa kimia di sungai tersebut.

“Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Hussin, Jabatan Amal Malaysia Negeri Johor Zon Selatan dan Khidmat Malaysia Johor.

“Saya dan team KASA telah meninjau dan mendapatkan maklumat mengenai pencemaran sisa kimia di kawasan tersebut pada hari Rabu lalu.

“Alhamdulillah, 9 suspek ditahan pihak polis dan situasi sungai terbabit telah beransur pulih,” katanya pada catatan di laman sosialnya, semalam.

Penyelaras Jabatan Amal Negeri Johor Zon Selatan Abdul Halim Ismail berkata, pihaknya bersama Khidmat Malaysia Johor melaksanakan operasi pembersihan di sisa kimia di Sungai Tawakkal semalam.

Katanya, operasi itu bertujuan membantu Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor untuk mengalih, mengalir dan menyekat sisa bahan kimia yang dibuang ke dalam sungai tersebut.

“Sisa kimia terbabit mengakibatkan pencemaran udara di kampung tersebut,” katanya pada kenyataan di sini.

Seramai 26 anggota Jabatan Amal terlibat dalam operasi tersebut dari kawasan Tebrau, Pasir Gudang, Johor Bahru, Iskandar Puteri dan Kulai.

Turut hadir Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Hussin dan Timbalan Pengarah Khidmat Malaysia Negeri Abdul Aziz.

Menurut Abdul Halim operasi dimulakan dengan rowcall taklimat di Maahad Sidi Ibrahim dengan kerjasama mudir maahad tersebut Ustaz Muslim.

Operasi bermula sekitar jam 9 pagi sehingga jam 11.30 tengahari, di mana petugas membersihkan sungai dan anak sungai serta membuat halangan untuk menyekat sisa kimia dari terus mengalir.

“Tujuannya supaya sisa kimia yang tersekat mudah dialihkan untuk dilupuskan pihak JAS.

“Jutaan tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua anggota yang hadir menginfakkan masa dan tenaga demi kesejahteraan penduduk Kampung Sri Aman. Allah SWT jualah sebaik-baik pembalas segala khidmat bakti amal kalian,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/9/2021

- Advertisement -