Suntikan vaksin remaja di Kelantan minggu depan

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Pemberian suntikan vaksin Covid-19 untuk remaja di Kelantan akan dimulakan pada minggu hadapan, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dato’ Dr Zaini Husin.

Beliau berkata, suntikan itu bertujuan meningkatkan tahap imunisasi kelompok dalam kalangan remaja sekaligus menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Katanya suntikan tersebut akan diberikan berpandu data pelajar yang dibekalkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan.

- Advertisement -

“Ia termasuk data melibatkan pelajar di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan institusi pendidikan swasta,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menerima 14 mesin ‘Oxyigen Concentrator’ sumbangan Firma Guaman Afiq & Co di lobi HRPZ II. Turut hadir Pengarah HRPZ II Dato’ Dr Selasawati Ghazali.

Dr Zaini juga berkata, peratusan individu yang divaksin di Kelantan amat menggalakkan selepas menerima banyak bekalan vaksin.

Menurutnya, berdasarkan data dan maklumat, setakat ini hanya peratusan kecil dalam kalangan individu di negeri itu belum divaksin.

“Pemberian vaksin sebagai tindakan tepat sebagai usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dalam kalangan remaja di negara ini sekaligus membolehkan mereka kembali semula ke sekolah,” katanya.

Baru-baru ini Menteri Kanan Pendidikan Dato’ Dr Mohd Radzi Md Jidin memberitahu sesi persekolahan secara bersemuka akan bermula pada 3 Oktober ini.

Bagaimanapun sesi berkenaan tidak melibatkan negeri-negeri yang masih berada dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN). – HARAKAHDAILY 15/9/2021

- Advertisement -