Peniaga lega kerajaan kurang 90 peratus SOP

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Pengurangan hampir 90 peratus prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan kerajaan merupakan khabar gembira kepada rakyat terutamanya golongan peniaga.

Mereka memberitahu sebelum ini terpaksa berdepan dengan banyak kesukaran bagi meneruskan kelangsungan hidup kerana SOP ketat yang dilaksanakan kerajaan bagi mengekang penularan Covid-19.

- Advertisement -

Seorang peniaga Husna Hashim, 36 berkata tindakan mengurung rakyat bukan lagi langkah yang sesuai kerana ia boleh menyebabkan orang ramai semakin tertekan.

“Tindakan mengurung rakyat bukan lagi solusi terbaik kerana hampir dua tahun ramai individu mengalami stress sehingga terdapat kes bunuh diri akibat tekanan hidup yang dihadapi.

“Di samping itu kita berharap dengan pengurangan SOP, boleh meningkatkan kembali ekonomi rakyat sekaligus melonjakkan kembali ekonomi negara,” katanya di sini hari ini.

Baru-baru ini Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kerajaan sedang berusaha memperkemaskan SOP berkaitan Covid-19 sedia ada supaya lebih dihafahami rakyat.

Menurutnya juga kerajaan berhasrat akan mengurangkan 181 SOP dalam keempat-empat fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) kepada 10 SOP sahaja.

“Perkembangan mengenai perkara ini akan mengambil masa dua hingga tiga minggu dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Husna juga berkata, biarpun kelonggaran SOP diberi kerajaan, namun kawalan kendiri perlu dilakukan orang ramai sekiranya mengalami gejala.

“SOP seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan sosial dan tidak boleh bersalam perlu diamalkan oleh rakyat kerana virus akan terus hidup bersama dengan kita.

“Mahu atau tidak, kita perlu menerima hakikat ini bahawa akhirnya virus Covid-19 akan berubah daripada pandemik kepada endemik,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 15/9/2021

- Advertisement -