Nelayan bersyukur kelulusan EIA tambak laut dibatalkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Unit Nelayan Sungai Batu, Zakaria Ismail, bersyukur dengan keputusan Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang mengetepikan kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) projek tambak laut yang membentuk tiga pulau buatan di Selatan Pulau Pinang (PSR).

Katanya, keputusan bersejarah itu penting kerana sekali gus menjadikan kelulusan EIA terhadap projek itu tidak sah dan terbatal.

- Advertisement -

Beliau yang juga perayu untuk mengetepikan kelulusan EIA itu berkata, keputusan itu adalah kejayaan bersama nelayan, penduduk setempat, badan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai pihak lain yang berjuang menentang perlaksanaan PSR.

“Terima kasih kepada peguam utama kes ini yang juga Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman, yang berjuang bermati-matian bagi pihak nelayan. Kami tidak mempunyai pengetahuan undang-undang untuk mencabar kelulusan EIA. Namun apabila bersatu, kita akhirnya berjaya.

“Saya rasa begitu hiba. Sebelum ini, saya tidak yakin rayuan ini akan berjaya. Alhamdulillah, Allah memperkenankan doa kita semua. Mereka termasuk sahabat daripada kalangan ustaz, rakan di tempat kerja lama, nelayan Sungai Batu dan pemimpin setempat.

“Hari ini, kita mendapat kejayaan besar. Namun ini bukan kejayaan saya, tetapi kejayaan kita semua sebagai rakyat Pulau Pinang. Insya-Allah kita akan terus berjaya, terima kasih kepada semua,” katanya dalam satu sidang media, semalam.

Zakaria berkata, mereka yang membantah PSR bukan menolak pembangunan, tetapi mahu pelaksanaan pembangunan yang tidak mengancam alam sekitar, apatah lagi menjejaskan mata pencarian nelayan yang membekalkan makanan kepada penduduk Pulau Pinang.

Semalam, Lembaga Rayuan JAS mengetepikan keputusan Ketua Pengarah JAS yang memberi kelulusan EIA untuk pelaksanaan PSR.

Keputusan oleh tiga anggota Lembaga Rayuan JAS diketuai Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayub dan pakar alam sekitar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mazlin Mokhtar dan Prof Madya Dr Ramdzani Abdullah dari Universiti Putra Malaysia.

Sementara itu, Meenakshi berkata, notis rayuan berkenaan difailkan kepada Lembaga Rayuan oleh Zakaria pada 29 Julai 2019 mengikut Seksyen 35 (1) (e) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (EQA 1974).

Katanya, pembatalan EIA itu bermaksud, Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) projek berkenaan yang sedang ditunggu kelulusannya juga sudah tidak boleh diguna pakai.

“Jika kerajaan negeri dan pemaju masih mahu meneruskan projek berkenaan, permohonan EIA baharu perlu dikemukakan semula kepada JAS. Bagi mendapatkan EMP, ia turut berkait rapat dengan kelulusan EIA yang diperoleh lebih awal. Oleh itu, semua proses perlu dilakukan semula oleh pihak berkaitan,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/9/2021

- Advertisement -