Keputusan Lembaga Rayuan serlahkan keadilan

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Pertubuhan Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (Lekas), bersyukur dengan keputusan Lembaga Rayuan mengetepikan kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) untuk projek tambakan laut Selatan Pulau Pinang (PSR).

Pengerusi Lekas, Zikrullah Ismail, berkata pihaknya merakamkan kegembiraan yang tidak terhingga kerana akhirnya keputusan Lembaga Rayuan menyerlahkan keadilan kepada pihak yang merayu.

Advertisement

“Kami di kalangan NGO dan aktivis di belakang yang selama ini bergembleng tenaga membantu mengurus isu ini sehingga berjaya memenangi kes ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau juga merakamkan jutaan terima kasih kepada masyarakat dan semua pihak yang menyokong perjuangan mereka selama ini.

Menerusi keputusan ini, katanya jelas membuktikan bahawa PSR mempunyai elemen tergesa-gesa kerana mendahului pengesahan Rancangan Struktur Negeri 2030.

Sementara itu, katanya Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari, tidak perlu membuang masa dengan mengemukakan permohonan untuk membuat semakan kehakiman terhadap keputusan Lembaga Rayuan.

“Semoga beliau lebih matang dan berhati-hati sebelum mahu menyemak keputusan Lembaga Rayuan. Lebih baik beliau teliti projek pembangunan kerajaan negeri sebelum ini,” katanya.

Zairil dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan mempertimbangkan tindakan undang-undang dengan memohon semakan kehakiman terhadap keputusan Lembaga Rayuan.

Selain itu, katanya kerajaan negeri akan mempertimbangkan tindakan lain, termasuk mengemukakan satu laporan EIA yang dikemas kini semula berdasarkan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri yang dirujuk dalam keputusan Lembaga Rayuan. – HARAKAHDAILY 9/9/2021