Raja Muda Perlis titah rakyat terus terokai minat membaca

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail
- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar rakyat Perlis menerokai minat membaca secara berterusan kerana masyarakat membaca merupakan lambang ketamadunan sesebuah negara. 

Baginda menyeru supaya dorongan kepada minat membaca dalam kalangan masyarakat di negeri itu perlu dilakukan secara berterusan dan tiada titik noktah dalam usaha menyemarakkan minat membaca. 

- Advertisement -

“Oleh itu, segala usaha perlu digemblengkan secara bersama-sama dari semua peringkat masyarakat di Perlis, terutama dalam situasi yang tidak menentu seperti sekarang ini. Bahan bacaan tidak terhad kepada fizikal sahaja, tetapi ia  juga boleh diakses secara atas talian di laman sesawang,” titah Baginda sempena kempen ‘Perlis Hebat:Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan’.

Sambutan tersebut diadakan sempena memperingati ‘Hari Literasi Sedunia’ atau ‘International Literacy Day’ yang disambut pada 8 September setiap tahun bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan keprihatinan terhadap masalah literasi yang wujud di kalangan komuniti tempatan dan juga secara global. 

Baginda juga menyeru agar masyarakat sentiasa meneroka dunia maklumat tanpa sempadan yang menawarkan pelbagai bahan bacaan seperti e-buku, e-majalah dan e-suratkhabar serta e-pembelajaran yang boleh diakses secara percuma di hujung jari masing-masing.

Pada kesempatan yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra menasihatkan masyarakat Perlis untuk terus menjadikan perpustakaan sebagai tempat riadah minda. 

“Apabila berada di perpustakaan ilmu pengetahuan dapat diterokai seolah-olah berada di serata pelosok dunia. Pelbagai pilihan bahan bacaan bercetak, dengan subjek yang berbeza, setia menanti pengunjung untuk menelaah setiap isi kandungannya,” titah Baginda lagi.

Sebagai rekod, tahap literasi bagi populasi dunia telah meningkat secara mendadak dalam beberapa abad yang lalu. 

Pada tahun 1820, hanya 12 peratus populasi dunia yang boleh membaca dan menulis. Namun pada hari ini  adalah sebaliknya apabila hanya 14 peratus dari populasi dunia didapati masih buta huruf. – HARAKAHDAILY 9/9/2021

- Advertisement -