Tindakan tegas pihak sertai himpunan 21 Ogos ini

Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyertai perhimpunan #Lawan pada 21 Ogos ini, kata Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil maklum terdapat pihak yang merancang untuk mengadakan perhimpunan jalanan itu dan menyifatkan tindakan sedemikian sebagai tidak bertanggungjawab.

- Advertisement -

“Ini kerana (ia) melanggar prosedur operasi standard (SOP) di bawah Pelan Pemulihan Negara serta membelakangkan keselamatan kesihatan dalam senario semasa penularan wabak Covid-19.

“PDRM meminta orang ramai untuk tidak menyertai sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang serta SOP yang sedang berkuat kuasa demi keselamatan kesihatan umum,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Acryl Sani turut menegaskan bahawa PDRM tidak akan bertolak ansur dengan pihak yang dikesan masih berdegil menganjurkan atau menyertai sebarang perhimpunan. – BERNAMA

- Advertisement -