Kelantan beri kerjasama SPRM siasat bekas pengurus AKSB

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan memberi kerjasama penuh bagi membantu Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat bekas Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) atas dakwaan berkaitan rasuah.

Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan Mohd Asri Mat Daud berkata, Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kaban Ahnad Yakub mengambil perhatian sepenuhnya berikutan penahanan bekas pegawai AKSB terbabit bagi membantu siasatan kes dakwaan rasuah.

Katanya ia dikatakan melibatkan projek AKSB bernilai lebih RM27 juta.

- Advertisement -

“Kerajaan negeri akan memberi sokongan dan kerjasama sepenuhnya melalui AKSB kepada pihak SPRM bagi membantu siasatan tersebut selaras dengan peruntukan undang-undang yang ada,” katanya pada kenyataan di sini.

Semalam media melaporkan seorang bekas pegawai kanan AKSB didakwa disiasat SPRM berkaitan dakwaan rasuah melibatkan projek AKSB bernilai lebih RM27 juta.

Mohd Asri berkata, dalam pada itu, prinsip ‘tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah’ perlulah sentiasa dipegang.

Oleh itu katanya semua pihak hendaklah memberi kepercayaan penuh kepada siasatan yang dibuat SPRM dan tidak mendahului suruhanjaya terbabit dalam isu tersebut.

Sementara itu, pada tahun lepas SPRM dilapor memberitahu pihaknya menerima 10 maklumat berkaitan AKSB dari tahun 2015-2019, namun tiada sebarang pendakwaan berlaku, membolehkan AKSB diisytihar bebas rasuah.

Timbalan Pengarah SPRM (Pencegahan) Kelantan Hairul Ilham Hamzah dilapor berkata demikian pada taklimat dan majlis menandatangani Ikrar Bebas Rasuah AKSB pada awal tahun lepas. – HARAKAHDAILY 10/7/2021

- Advertisement -