Ke mana baki peruntukan P Pinang untuk rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mempersoalkan peruntukan berjumlah RM1.04 juta oleh Ketua Menteri Pulau Pinang yang tidak digunakan sepenuhnya bagi membantu rakyat di seluruh negeri itu.

Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong berkata, sebelum ini Ketua Menteri Pulau Pinang mengumumkan peruntukan RM1.04 juta kepada 40 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), iaitu masing-masing seharusnya mendapat RM26,000.

- Advertisement -

“Tetapi mengikut kenyataan beberapa orang ADUN kepada pihak media, mereka hanya mendapat RM20,000.

“Maka, ke mana perginya RM6,000 yang baki itu? Ke mana perginya baki yang berjumlah RM24,000 yang harus diagihkan kepada rakyat Pulau Pinang di 40 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN)?”  katanya dipetik portal bersatu.org.

Beliau yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, mendakwa pengumuman peruntukan itu dibuat setelah kempen kibar bendera putih bermula dan juga apabila rakyat Pulau Pinang memasang bendera putih di depan rumah mereka.

Menurutnya, ini mencerminkan rakyat negeri itu telah lama menunggu bantuan daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Pulau Pinang yang diketuai DAP.

Jelasnya, ia juga membuktikan kerajaan negeri gagal menghulurkan bantuan kepada rakyat dan menjaga kebajikan warga negerinya.

Beliau berkata, sebenarnya peruntukan RM20,000 yang diberi tidak cukup untuk menampung keperluan rakyat di sesebuah kawasan DUN.

Sebagai contoh, katanya DUN Padang Kota, kawasan bagi Ketua Menteri Pulau Pinang yang mempunyai 14,476 orang pengundi.

“Sekiranya RM20,000 itu diagihkan kepada setiap pengundi di Padang Kota, masing-masing hanya menerima RM1.40 di mana pengiraan ini tidak termasuk penduduk di kawasan DUN itu yang bukan pengundi,” katanya.

Menurut beliau, sekiranya bantuan berbentuk barangan yang diberi bernilai RM50, dengan peruntukan berjumlah RM20,000 kepada setiap kawasan DUN, hanya 400 orang penduduk di setiap kawasan akan menerima manfaat tersebut.

“Maka, jumlah peruntukan itu masih tidak cukup untuk membantu semua rakyat Pulau Pinang yang memerlukan bantuan.

“Kami juga menerima aduan daripada penduduk di beberapa kawasan bahawa mereka tidak menerima sebarang bantuan daripada negeri Pulau Pinang,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/7/2021

- Advertisement -