Apa sudah jadi dengan bandar Kajang?

- Advertisement -

NAMA bandar Kajang, Semenyih, Bandar Baru Bangi, Sungai Merab, Sungai Ramal, Sungai Long dan lain-lain nama. Hebat nama itu. Penuh identiti dan jati diri. Tetapi apabila dibangunkan kawasan tersebut, hilang semua identiti dan jati diri.

Apakah mereka yang berada di PBT ini sudah tidur? Ke manakah jatidiri kamu? Pembangunan dan taman perumahan baharu langsung tidak melambangkan identiti dan jati diri negara. Nama-nama bangunan, taman perumahan begitu asing sekali, seolah-olah kita tidak berada di Malaysia. 

- Advertisement -

Sepanjang perjalanan menuju kawasan Kajang dan persekitaran, tidak lagi menampakkan Kajang sebuah bandar yang mempunyai identiti dan jati diri. Nama-nama bangunan dan nama-nama taman serta langsung tidak mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Apakah PBT yang meluluskan semua nama ini sudah buta mata hatinya? 

Nama-nama seperti Jade Hill, Twin Palms, Saville @ Cheras Saville @ Kajang, Good View, One Park, Eco Hill, Country Height dan lain-lain. Sudah kering dan kontangkah nama-nama berasaskan identiti dan jati diri negara ini? Jangan masuklah ke Kuala Lumpur, semakin hilang identiti dan jati dirinya, walaupun nama Kuala Lumpur.

Fenomena ini bukan sahaja berlaku di Kajang, tetapi boleh dikatakan semua bandar, kecuali Kelantan dan Terengganu. Jangan bandingkan dengan Pulau Pinang. Apabila ia menjadi Penang, memang sudah lama hancur.

Bertambah buruk apabila, nama kedai, papan tanda atau banner yang digantung di kedai, begitu juga di tiang-tiang elektrik, sepanjang lebuh raya di sekitar kawasan Kajang boleh dikatakan, langsung tidak ada dalam Bahasa Melayu. Semuanya sama ada dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Cina, sepenuhnya. 

Satu perkara yang boleh dipuji, di Bandar Mahkota Cheras, saya terjumpa nama jalan, Jalan Dayang, bertulis jawi bahagian paling atas. Ini sahaja boleh dibanggakan. Yang lain untuk PBT ini, semuanya ke laut.

Inikah yang dikatakan pembangunan? Langsung tidak mencerminkan jati diri negara? Apa sudah jadi dengan negara dan negeri ini. Bagaimana PBT menjaga kawasan seliaannya. Apakah kita sudah terlebih Barat? Tidakkah yang meluluskannya semua berkulit sawo matang.

Pergilah ke negara lain, tak usah ke China atau ke India. Paling dekat negara jiran kita, seperti Thailand dan Indonesia, bagaimana negara-negara ini mengangkat identiti dan jati diri negara mereka. Kita nak dengan ke mana dengan nama-nama orang putih ini?

Ultra kiasu memang sangat suka dengan nama-nama ini kerana semakin hilang identiti dan jati diri Melayu, maka semakin tercabutlah akarnya. Apabila semua itu sudah tercabut, mudahlah mereka menguasai. 

Tak nampak lagi apa yang saya maksudkan? Mahu saya berterus terang. Takkan tak ambil iktibar patung Mao Tze Tung yang dibina? Apakah PBT ini tidak penat melihat semua ini? Tunggu laporan akan datang.

PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH – HARAKAHDAILY 7/6/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -