Bengkel Pengkaedahan Jawi dedah teknik terkini

- Advertisement -

TEMERLOH: Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang telah menganjurkan Bengkel Pengkaedahan Jawi yang dilangsungkan di Kolej Komuniti Temerloh, di sini semalam.

Program melibatkan penyertaan dalam kalangan pendidik dari sekolah swasta dan kerajaan ini berjaya mendapat penyertaan memberangsangkan dari setiap Parlimen dalam negeri ini.

Objektif utama bengkel adalah untuk memartabatkan kegemilangan tulisan Jawi dan meningkatkan penguasaan kaedah penulisan Jawi mengikut perubahan dalam ejaan terkini dan memperkukuhkan kemahiran peserta.

- Advertisement -

Penganjuran diterajui Ketua Lajnah Pendidikan Muslimat PAS Pahang, Faezah Mohammad Sedir ini telah diisi Jurulatih Kaedah Jawi yang juga calon Munsyi Jawi Negeri Pahang, Ustaz Aris Hazlan Ismail.

Dengan ‘matan Jawi tersendiri’ dari kemahiran beliau miliki, Ustaz Aris pada bengkel separuh hari ini berjaya membimbing dan memotivasi para peserta seorang yang memberi komitmen kepada pengajaran.

Terdahulu, bengkel telah dirasmikan Naib Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Salamiah Mohd Nor yang memuji keprihatinan untuk memperkasakan penggunaan tulisan Jawi kepada masyarakat dan generasi akan datang.

“Sejak abad ke-14 , Bahasa Melayu dan tulisan Jawi menjadi lingua franca di Kepulauan Melayu. Zaman Melaka, Undang-undang Laut Melaka ditulis dengan tulisan Jawi. Begitu juga Batu Bersurat yang dijumpai di Terengganu dalam abad ke-13.

“Dalam abad ke-16, Bahasa Melayu dan tulisan Jawi setanding dengan Bahasa Perancis dan Latin di Eropah, diterima sebagai bahasa perhubungan antarabangsa.

“Kehebatan tulisan Jawi mengalami kemerosotan apabila Kepulauan Melayu mula dijajah oleh bangsa Eropah sehingga penggunaan tulisan Jawi telah diganti oleh Tulisan Rumi. Tulisan Jawi ditulis dari kanan ke kiri tetapi tulisan Rumi dari kiri ke kanan.

“Penjajah berjaya mengubah satu warisan bangsa yang bertamadun. Selepas Merdeka pula Menteri Pendidikan, Khir Johari telah menghapuskan tulisan Jawi dalam sistem pendidikan.

“Kesan yang ketara, generasi yang berhadapan dengan situasi tersebut tidak dapat membaca Jawi dan ramai tidak dapat membaca Al Quran. Tulisan jawi juga terpinggir bila Akta Bahasa 1963 menggantikan skrip rasmi Bahasa Melayu kepada tulisan Rumi,” ujarnya.

Tambah beliau, generasi dan masyarakat sekarang sebahagian besar tidak berasa penting untuk menguasai tulisan Jawi kerana kekurangan bahan dalam tulisan Jawi untuk memperolehi pelbagai cabang ilmu.

Manakala aplikasi multimedia Tulisan Jawi juga menurut beliau yang juga Ketua Muslimat PAS Pahang, kurang diketengahkan dalam usaha menyampaikan ilmu.

“Sebelum ini ada usaha pihak tertentu untuk memasukkan pengenalan asas tulisan Jawi dalam teks tetapi mendapat bantahan yang hebat dari golongan yang mempunyai persepsi negatif.

“Sewajarnya kaedah pengajaran Seni Khat dan Tulisan Jawi perlu ada di IPTA dan IPTS sebgai usaha memartabatkan tulisan Jawi,” cadang beliau.

Pun begitu, beliau bersyukur atas usaha dilakukan oleh Kerajaan Negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang yang terbaharu telah menetapkan supaya papan iklan mesti ditulis dalam tulisan Jawi.

Malah, beliau menyeru orang ramai khususnya orang Melayu untuk berperanan dalam meluaskan dan memperkasakan penggunaan tulisan Jawi dalam urusan seharian mereka. – HARAKAHDAILY 3/1/2021

- Advertisement -