PAS tegas tolak jajaran baharu, kekal bersama MN-PN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS menegaskan tidak akan menerima penjajaran baharu yang diusahakan pihak-pihak tertentu sebaliknya mahu terus memperteguhkan hubungan bersama di dalam Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional.

- Advertisement -

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, ini kerana gabungan tersebut bukan hanya melibatkan Umno dan BERSATU, tetapi semua kumpulan Melayu-Islam dan Bumiputera termasuk masyarakat majmuk.

“Kita masih lagi menyeru kepada perpaduan umat iaitulah umat Islam dan masyarakat majmuk. Umat Islam ini ialah Muafakat Nasional, bukan sahaja PAS dengan Umno termasuk BERSATU. Itu dasar, itu prinsip bersama yang kita dah bersetuju.

“Tapi masalah pimpinan Umno tak ikut, itu hal merekalah. Dan difahamnya bukan semua orang Umno begitu. Jadi kita nak menyatukan orang Melayu bukan PAS dengan Umno saja Melayu, Melayu ini NGO-NGO, NGO individu, dan semua pihak kita kena terima. Kecuali yang ekstrem, Melayu yang ekstrem itu kita tolak.

“Termasuklah juga masyarakat majmuk, masyarakat majmuk melalui Perikatan Nasional. Perikatan Nasional melibatkan masyarakat majmuk, melibatkan rakan-rakan kita di Malaysia Timur,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada soalan media mengenai wujud usaha penjajaran baharu dalam kalangan pemimpin Umno yang dikatakan melibatkan bersama PKR, DAP dan PAN dari Pakatan Harapan.

Menjawab soalan mengenai isu audio yang tular, beliau yakin masyarakat dapat menilai di mana jika manifesto dijanjikan boleh diremehkan, sudah tentu hal video itu mereka menganggap lebih kecil dari itu.

Terdahulu beliau mengakui perbincangan PAS bersama BERSATU mengenai pembahagian kerusi bertanding PRU15 telah dibincangkan menerusi pimpinan PAS yang dipertanggungjawabkan mengenainya. – HARAKAHDAILY 9/4/2021

- Advertisement -