Tawaran kerajaan selamatkan rakyat: Negara berkebajikan

- Advertisement -

KEWUJUDAN negara adalah sebahagian daripada ketetapan Allah SWT kepada makhluk manusia, supaya memakmurkan bumi dengan sifat kemampuannya dalam mengurus dan mentadbir makhluk lain, termasuklah segala sumber yang diciptakan di dalamnya. Inilah perkara yang telah diisytiharkan oleh Allah SWT sejak diciptakan Nabi Adam AS. Firman Allah SWT:

﴿وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ٣٠﴾

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.’ Mereka bertanya (tentang hikmah ketetapan Tuhan itu dengan berkata): ‘Adakah Engkau (wahai Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?’ Tuhan berfirman: ‘Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kalian tidak ketahui.’” (Surah al-Baqarah: 30)

Allah SWT mewajibkan mereka untuk beramal soleh mengikut perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya, yang dinamakan dengan amal kebajikan yang dijanjikan pahala. Termasuklah menegakkan negara mengikut petunjuk Allah SWT juga dikira sebagai amal kebajikan.

- Advertisement -

Sekiranya mereka melakukan perkara sebaliknya, maka dikira sebagai bersalah dan berdosa serta memperoleh kecelakaan di dunia dan akhirat. Semua perbuatan tersebut akan dihisab pada Hari Akhirat kelak.

Islam mentakrifkan kebajikan dengan makna yang lengkap mengikut kesempurnaan petunjuk Allah SWT yang dinamakan Islam.

Sesungguhnya tujuan manusia diciptakan ialah wajib beriman, beribadat dan bermasyarakat dengan berkhilafah (berpolitik) bagi menegakkan sebuah negara masyarakat majmuk yang berkonsepkan adil kepada semua.

Makna kebajikan itu dijelaskan oleh firman Allah SWT:

﴿لَيْسَ الْبِرَّ أَنْ تُوَلُّوا وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلَكِنَّ الْبِرَّ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَالْمَلَائِكَةِ وَالْكِتَابِ وَالنَّبِيِّينَ وَآتَى الْمَالَ عَلَى حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَالسَّائِلِينَ وَفِي الرِّقَابِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَالْمُوفُونَ بِعَهْدِهِمْ إِذَا عَاهَدُوا وَالصَّابِرِينَ فِي الْبَأْسَاءِ وَالضَّرَّاءِ وَحِينَ الْبَأْسِ أُولَئِكَ الَّذِينَ صَدَقُوا وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُتَّقُونَ١٧٧﴾

“Bukanlah perkara kebajikan itu hanya dengan kalian menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan Hari Akhirat, dan seluruh para malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi. Dan memberikan seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, kepada kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan musafir (yang memerlukan pertolongan), dan kepada orang-orang yang meminta-minta, dan (untuk memerdekakan) hamba-hamba abdi; dan mendirikan sembahyang serta menunaikan zakat. Dan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar ketika kesempitan, penderitaan, dan juga dalam dalam perjuangan. (Orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa.” (Surah al-Baqarah: 177)

Inilah makna kebajikan mengikut petunjuk al-Quran yang berdasarkan kepada iman, iaitu beriman kepada Allah SWT, kitab-Nya yang menjadi petunjuk, percaya kepada para rasul yang menerima kitab Allah secara wahyu dan menjadi pemimpin teladan serta percaya kepada alam ghaib seperti para malaikat yang mulia. Begitu juga percaya kepada pembalasan di Hari Akhirat yang dijanjikan kepada mereka yang berkebajikan di alam dunia dengan mengikuti petunjuk Allah SWT sahaja.

Seterusnya diikuti dengan beramal soleh dan berakhlak mulia, dalam hubungan manusia dengan Allah SWT dari segi ubudiyyah dan hubungan sesama manusia, diri sendiri, keluarga dan masyarakat.    

Amal soleh dinamakan sebagai kebajikan apabila menjaga hubungan dengan Allah SWT melalui jasad, roh dan harta, serta menjaga kewajipan kepada manusia terhadap individu, institusi keluarga, masyarakat dan negara. Ia dilaksanakan dengan akhlak yang berintegriti dan berasaskan kepada keimanan, sehingga mencipta sifat taqwa yang memberikan kemuliaan kepada seseorang manusia.

Maka, Negara Berkebajikan yang ditawarkan ini pastinya berbeza dengan teori Barat yang sempit dan hanya sekadar berkonsepkan kebajikan masyarakat (welfare state), sama ada mengamalkan pendekatan liberal kapitalisme, komunisme atau sosialisme. Semua pendekatan tersebut berkonsepkan sekularisme tanpa agama atau terpisah daripada agama.

Adapun konsep kebajikan mengikut perspektif Islam berprinsipkan rukun iman yang menjadi asas kepada amal soleh dengan maksud yang luas. Ia melibatkan seluruh anggota masyarakat berkonsepkan adil terhadap semua. Maka, Negara Berkebajikan itu berdasarkan kepada firman Allah SWT yang berikut:

﴿إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ  إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا٥٨ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ  فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا٥٩﴾

“Sesungguhnya Allah menyuruh kalian supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kalian menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kalian menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kalian. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (58); Wahai orang-orang yang beriman, taatilah kalian kepada Allah dan taatilah kalian kepada Rasulullah dan kepada Ulil Amri (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kalian. Kemudian, jika kalian saling berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kalian mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya; jika kalian benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Demikian itu, adalah lebih baik (bagi kalian), dan lebih elok pula kesudahannya. (59).” (Surah al-Nisa’: 58-59)

Kewajipan menunaikan amanah termasuk dalam banyak perkara, merangkumi semua kewajipan dalam hubungan dengan Allah SWT dan hubungan manusia dengan diri sendiri, dan sesama manusia dalam semua urusan berkeluarga dan bermasyarakat. Amanah itu dilaksanakan dengan istiqamah (konsisten) dan diberikan tugas kepada orang yang layak dari segi iman, ilmu dan akhlak (berintegriti).

Para pemimpin wajib melaksanakan konsep adil kepada semua manusia yang bermasyarakat majmuk dalam aspek politik, ekonomi, sosial dan lain-lain, bukan sahaja terhad dalam aspek kehakiman. Maka, dalam aspek kenegaraan mewajibkan kepimpinan bersyakhsiah (integriti keimanan, ilmu dan akhlak). Tanpa sifat-sifat tersebut, maka hilanglah sifat integritinya.

Adapun rakyatnya pula wajib secara mutlak taat kepada Allah yang Maha Suci daripada segala kekurangan dan Rasul yang wajib bersifat ‘ismah (dipelihara dengan wahyu) kerana mereka adalah teladan kepada seluruh manusia.

Adapun taat kepada pemimpin adalah bersyarat, selagi mana pemimpin itu berlaku adil dengan mematuhi perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW. Semuanya berdasarkan kepada beriman kepada Allah SWT, Rasul dan Hari Akhirat secara mutlak.

Namun peranan ‘Ulul Amri’ (syura) adalah bersyarat dan tidak mutlak, kerana mereka mempunyai banyak kelemahan dan menjauhi rakyat supaya tidak hanyut dan sesat disebabkan kelemahan tersebut.

Maka, Islam menentang kezaliman yang menggunakan kuasa mutlak berbentuk ‘dictatorship’ yang bertuhankan individu atau kumpulan yang dianggap syirik tidak mengesakan ketuhanan Allah SWT.

Begitu juga Islam menentang kezaliman dalam bentuk teokrasi yang bertuhankan agamawan, dan demokrasi yang bertuhankan rakyat yang ditipu dan diperbodohkan dengan godaan dunia, rasuah atau paksaan.

Betapa besarnya dosa sekiranya diberikan kepatuhan yang mutlak kepada pemimpin yang zalim dan menyalahgunakan kuasa, sehingga ia dianggap setaraf dengan perbuatan syirik yang menjadi dosa paling besar di sisi Allah SWT. Firman-Nya:

﴿أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُمْ مِنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَنْ بِهِ اللَّهُ وَلَوْلَا كَلِمَةُ الْفَصْلِ لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ وَإِنَّ الظَّالِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ٢١﴾

“Patutkah mereka mempunyai sembahan-sembahan yang menentukan mana-mana bahagian daripada agama mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? Dan jika tiada kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (daripada Allah untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta ke atas mereka (yang berbuat demikian). Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah al-Syura: 21)

Kemudian ditafsirkan pula objektif pembentukan negara dalam Islam oleh firman Allah SWT:

﴿الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ٤١﴾

“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta menunaikan zakat, dan mereka menyuruh berbuat perkara yang ma‘ruf serta melarang daripada melakukan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah al-Hajj: 41)

Ayat di atas menegaskan konsep negara yang bercirikan seperti berikut:

  • Solat (ibadat diri)

Mereka yang mendirikan solat sentiasa berhubung dengan Allah SWT setiap waktu yang diwajibkan, bukan sekadar berpura-pura mendirikan masjid. Tidak cukup hanya mempunyai ilmu sahaja, tanpa mempunyai peribadi yang bertaqwa. Hal ini sangat penting supaya integriti seseorang itu ikhlas, bukannya berpura-pura.

  • Zakat (ibadat harta)

Pelaksanaan konsep ekonomi yang adil dengan mengambil sebahagian harta orang yang kaya (mencukupi nisob) berkonsepkan ibadat harta kepada penganut Islam. Manakala kalangan bukan Islam diwajibkan membayar cukai (bukan zakat yang bersifat ibadat). Bagi mereka yang tidak berkemampuan dalam kalangan orang Islam tidak diwajibkan mengeluarkan zakat.

  • Amar Ma‘ruf (ibadat bermasyarakat)

Amar ma’ruf merupakan pelaksanaan kebaikan yang luas maksudnya mengikut hukum agama dan akal yang sihat. Contohnya, memberikan pertolongan harta dan moral, memberikan khidmat yang baik, termasuk khidmat nasihat dan saling menjaga hubungan dengan baik. Selain itu, menyumbang harta berdasarkan konsep infaq dengan membelanjakan kepada asnaf (yang berhak menerima), pengurusan, pembangunan, perkhidmatan dan lain-lain.

Amal baik itu secara langsung untuk memenuhi keperluan jasad (makanan, pakaian, tempat tinggal, alat perhubungan), keperluan akal dengan ilmu (pendidikan dan pelajaran) dan lain-lain.

Semuanya menjadi tanggungjawab pihak kerajaan dan mereka yang berkemampuan daripada semua pihak dalam sebuah masyarakat, sama ada secara individu mahupun berkumpulan.

  • Nahi Munkar:

Kehebatan undang-undang dan tindakan pencegahan sebelum berlakunya kejahatan. Pada masa yang sama, bertindak adil terhadap pelakunya dan mendidik masyarakat bukan sekadar menghukum dan menyeksa atau mendera dengan melampau.

  • Wawasan akhirat

Beriman dengan adanya hisab dan balasan di Hari Akhirat, sama ada baik atau jahat, adil atau zalim. Bukan sekadar ganjaran dan hukuman di alam dunia ini sahaja. Sekali gus menjadikan seseorang itu berwaspada dalam melaksanakan urusan dunia. Walaupun kesalahannya terlepas daripada hukuman undang-undang di dunia dan penguatkuasannya, namun sekali-kali tidak akan terlepas daripada hukuman selepas meninggal dunia kelak.

Allah SWT menjanjikan kepada negara yang bercirikan kebajikan dan memenuhi sifat taqwa dengan kelayakan untuk mendapat keberkatan yang melimpah ruah. Keberkatan itu ialah membawa kebaikan di dunia dan akhirat.

Sifat taqwa adalah aspek spiritual (rohani) yang digerakkan oleh iman yang ada dalam hati nurani seseorang sehingga menggerakkan akal dan anggota badan untuk melakukan kebajikan dengan ikhlas. Aspek ini membezakan konsep Islam dengan ideologi dan teori kenegaraan yang berkonsepkan sekularisme, suatu konsep yang memisahkan urusan negara daripada agama.

Firman Allah SWT:

﴿وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ٩٦﴾

“Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah keberkatannya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan ke atas mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” (Surah al-A‘raf: 96)

Dan juga firman Allah SWT menceritakan tentang negara Saba’ yang makmur dan berkat:

﴿…بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ١٥﴾

“…Negeri kamu ini adalah negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun.” (Surah Saba’: 15)

Termasuklah firman Allah SWT yang meminta penduduk Makkah agar menerima Islam ketika mula-mula kedatangannya:

﴿فَلْيَعْبُدُوا رَبَّ هَذَا الْبَيْتِ٣ الَّذِي أَطْعَمَهُمْ مِنْ جُوعٍ وَآمَنَهُمْ مِنْ خَوْفٍ٤﴾

“Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini. (3); Tuhan yang memberikan mereka penghidupan: menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan. (4).” (Surah Quraisy: 3-4)

Negara Berkebajikan berpandukan kepada hidayah (petunjuk Allah SWT), dengan penuh keyakinan kepada kejayaannya yang dijanjikan oleh Allah dalam aspek politik, ekonomi dan keamanan masyarakat.

Justeru itu, menegakkan Negara Berkebajikan menjadi kewajipan kepada seluruh umat Islam dan mengajak bukan Islam bernaung di bawah keadilannya yang sebenar.

Kesilapan yang sama akan berulang lagi, walau siapa pun yang mengambil alih pentadbiran negara, apabila iman, amal soleh dan akhlak berpisah dengan agama yang termaktub dalam Islam yang sempurna ajarannya. Firman Allah SWT:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ  إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ٢٠٨﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kalian menuruti jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kalian yang terang lagi nyata.” (Surah al-Baqarah: 208)

Perubahan kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) dahulu dengan kelemahan pemerintahannya tidak mampu diubah oleh Pakatan Harapan (PH) seperti yang dijanjikan, hanya indah khabar dari rupa dengan manifesto yang tidak mampu dikotakan.

Kali ini kami mengajak supaya peluang diberikan kepada PAS bersama gabungan politik Perikatan Nasional (PN) yang menjanjikan sebuah Negara Berkebajikan dengan agenda Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS).

ABDUL HADI AWANG,
Presiden PAS.
Bertarikh: 26 Sya‘ban 1442 / 9 April 2021 – HARAKAHDAILY 9/4/2021

- Advertisement -