PAS mahu satukan Melayu, masyarakat majmuk

- Advertisement -

MARANG: Komitmen PAS jelas mahu menyatukan umat Melayu dan masyarakat majmuk di negara ini termasuk di Sabah dan Sarawak.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS menyeru kepada perpaduan umat termasuklah masyarakat majmuk di negara ini.

Justeru, katanya Muafakat Nasional (MN) bukan sahaja dengan Umno tetapi termasuklah dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurutnya, PAS mahu menyatukan orang Melayu dalam parti, NGO-NGO (badan bukan kerajaan) dan masyarakat majmuk melalui Perikatan Nasional (PN).

- Advertisement -

“Kita masih lagi menyeru kepada perpaduan umat, iaitu umat Islam dan masyarakat majmuk. Umat Islam ini ialah Muafakat Nasional (MN), bukan sahaja dengan Umno termasuklah dengan Bersatu.

“Itu dasar, itu prinsip bersama yang kita dah bersetuju. Tapi, masalah pimpinan tak ikut itu hal merekalah dan difahamnya bukan semua orang Umno begitu.

“Jadi, kita hendak menyatukan orang Melayu, bukan orang PAS, Umno sahaja Melayu. Melayu ini, NGO-NGO, individu dan semua pihak kita kena terima, kecuali Melayu yang ‘ekstrem’.

“Itu kita tolak, termasuklah juga (kita terima) masyarakat majmuk melalui Perikatan Nasional. Perikatan Nasional melibatkan masyarakat majmuk, melibatkan rakan-rakan kita di Malaysia Timur,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian kepada wartawan selepas menyampaikan Kuliah Dhuha Jumaat secara atas talian di Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Ketika ditanya tentang perbincangan agihan kerusi pilihan raya bersama Bersatu dan Umno, kata beliau PAS telah melantik wakil partinya bagi melaksanakan tugas itu.

“Ya, kita telah membuat keputusan, sudah ada pimpinan kita melaksanakan tugas itu, saya serah kepada mereka. Bila-bila masa, (berapa) yang peratus itu saya tak tahu, tapi kita akan buat perbincangan dengan Bersatu.

“Oleh kerana Umno bermasalah mereka, kita dengan Bersatu dahulu. Kita tidak gopoh, pilihan raya pun belum tahu bila. Itu (kerusi) lihat kepada keperluanlah dan kemunasabahan,” jelasnya.

Menjawab persoalan, adakah beliau yang terus mempertahankan Parlimen Marang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Tuan Guru Abdul Hadi, terserah kepadaa keputusan parti yang menentukannya.

“Itu bergantung kepada keputusan parti, ikut partilah buat keputusan,” ujarnya dengan wajah tersenyum. – HARAKAHDAILY 9/4/2021

- Advertisement -