Perlu solat Istikharah sebelum ambil vaksin COVID-19?

- Advertisement -

SAYA bertanyakan kepada beberapa orang asatizah: Tidak perlu pun solat sunat Istikharah sebelum dari mengambil vaksin COVID-19. Vaksin COVID-19 ini ibarat seperti makan minum yang menjadi keperluan dan tanggungjawab diri kita sebagai seorang rakyat demi sama-sama memutuskan rantaian dalam melandaikan wabak COVID-19 dalam negara. Kenapa perlu berbelah bahagi? Tegas para asatizah tersebut.

Kita juga sudah maklum tanpa tunjukkan bukti berstrata sekalipun, vaksin COVID-19 adalah selamat digunakan dan telah pun diberikan kepada ratusan juta manusia tanpa sebarang komplikasi teruk. Amat tidak munasabah perkara sebegitu pun nak solat Istikharah, walau dari segi hukum adalah dibenarkan.

- Advertisement -

Biasanya solat sunat Istikharah ini nak pilih calon isteri ataupun calon suami. Walaupun solat sunat Istikharah itu dibolehkan atas isu-isu lain, tetapi ghalib bagi orang kita untuk membuat pilihan calon isteri ataupun suami solat sunat Istikharah diperlukan. Tiada orang solat sunat Istikharah untuk buat pilihan sama ada nak kahwin ataupun tidak nak kahwin! Cuma nak kahwin dengan gadis mana satu antara banyak pilihan itulah yang perlu diistikharahkan. Ok, kalau begitu doktor boleh tak saya buat pilihan nak vaksin COVID-19 yang mana satu boleh pilih tak?

Untuk makluman, perancangan perolehan vaksin yang sedang diatur oleh kerajaan buat masa ini adalah: 

50 peratus Pfizer.
20 peratus Astra Zeneca.
18 peratus Sinovac.
10 peratus CanSino.
10 peratus Gamaleya (Sputnik).
~ peratus Johnson. Dan Johnson dalam pertimbangan.

Kalau ikutkan perancangan perolehan vaksin kita itu, sudah melebihi 100 peratus untuk rakyat. Cuma kesemua itu akan sampai secara berperingkat. Ianya bergantung kepada kelulusan dari FDA (peringkat Antarabangsa) dan kelulusan dalam negara kita oleh NPRA dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Kebangsaan (PBKD).

Rakyat akan dibahagi kepada 3 fasa yang juga kita ketahui bersama. Fasa pertama untuk barisan hadapan, fasa kedua adalah untuk golongan berisiko tinggi dan fasa ketiga adalah untuk rakyat secara keseluruhannya. Jadi di sini pemilihan setiap rakyat mestilah mengikut apa yang telah dijadualkan oleh kerajaan dan juga mengikut yang mana satu vaksin-vaksin itu akan diterima dahulu dan diluluskan dahulu.

Terlalu memilih calon isteri yang nak begitu perfect pun (100 peratus cantik, cerdik, kaya, keturunan baik, beragama) kadang-kadang amat sukar juga. Kita juga kena lihat keadaan kita dahulu, sekufu atau tidak dan sebagainya. Ke guana?

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 1/3/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -