JAS menang anugerah penguatkuasaan alam sekitar Asia

KUALA LUMPUR: Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengucapkan tahniah kepada Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta semua warga kerja JAS di seluruh negara atas penganugerahan Asia Environmental Enforcement Awards 2020 daripada United Nations Environment Programme (UNEP) pada majlis Ceremony for the Asia Environmental Enforcement Awards 2020 yang diadakan secara virtual, hari ini.

“Penghargaan saya kepada semua agensi-agensi penguatkuasa di negara ini iaitu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan semua pihak berkuasa pelabuhan yang merupakan kunci kepada kejayaan ini,” ujarnya dalam kenyataan, malam ini.

Advertisement

Tambahnya, manakala kerjasama dan perkongsian maklumat pintar dengan agensi luar negara seperti Competent Authority (CA) di bawah Basel Convention dan INTERPOL atas kerjasama kepada JAS dalam membanteras pengimportan sisa plastik secara haram ke dalam negara ini dan sekali gus memerangi jenayah alam sekitar rentas sempadan.

Katanya, selaras dengan komitmen Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030 dan Pelan Strategik Kelestarian Alam Sekitar Di Malaysia 2020-2030, JAS komited dalam pelaksanaan aktiviti penguatkuasaannya bagi membendung pencemaran alam sekitar.

Beliau menambah, dalam tempoh Januari 2019 sehingga Disember 2020, JAS telah berjaya menghantar semula 254 kontena ke negara pengeksport dengan anggaran berat 5,512 metrik tan sisa plastik tanpa melibatkan sebarang kos oleh Kerajaan Malaysia.

Menurutnya lagi, JAS juga telah berjaya menahan operasi 204 kilang kitar semula sisa plastik haram sepanjang tempoh tersebut.

“Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada orang ramai yang sentiasa menyalurkan maklumat dalam usaha JAS membanteras jenayah alam sekitar di negara ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/2/2021