Terengganu perkenal insentif BERKAT PKP 2.0

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa memahami denyut nadi rakyat yang terkesan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dengan melancarkan Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) 2021 dengan kos RM19 juta.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, antara insentif yang diperkenalkan ialah ‘bakul makanan’ kepada penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) kepada golongan asnaf yang dianggarkan keseluruhan seramai 81,000 penerima.

Di samping itu, katanya insentif tunai berjumlah RM100 kepada golongan terjejas pekerjaan di sektor yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang PKP 2.0.

- Advertisement -

“Contohnya tukang gunting, pekerja kedai cucian kereta dan seumpamanya yang dianggarkan melibatkan seramai 48,000 orang,” jelasnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Selain itu, tambah beliau bantuan top up internet sebanyak RM100 kepada semua pelajar daripada keluarga yang berpendapatan kurang daripada RM2,500 di mana jumlah penerima adalah berdasarkan penerima bantuan persekolahan.

Tambahnya, insentif lain ialah membekalkan 1600 tablet untuk pelajar-pelajar miskin, yang akan disalurkan melalui anak syarikat kerajaan negeri (GLC) dan insentif ‘kuliah online‘ kepada pendakwah yang terjejas dan tiada pendapatan tetap.

Kerajaan negeri juga, katanya memberi nsentif khas sebanyak RM300 seorang kepada penggiat pelancongan termasuk penarik beca, pemandu bot penambang, kakitangan agensi pelancongan dan pengembaraan (imbound sahaja), pemandu bot Tasik Kenyir, pemandu pelancong berdaftar, serta pemandu teksi ‘airport’.

Menurutnya, Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Negeri Terengganu turut menerima pengecualian Cukai Taksiran bagi tahun 2020.

Selain itu, jelasnya kerajaan negeri membuka operasi 20 buah Pusat Internet Akses Rakyat (PINTAR) yang akan memberi keutamaan kepada pelajar miskin dan bermasalah semasa Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Walau bagaimanapun, katanya rakyat yang tidak termasuk dalam golongan seperti disebutkan di atas namun amat memerlukan dan terjejas sepanjang tempoh PKP 2.0, boleh menghubungi Pusat Khidmat Masyarakat ADUN/DUN masing-masing untuk memohon bantuan sesuai yang diperlukan.

“Semoga dengan insentif yang diperkenalkan dapat memberi sedikit kelegaan kepada mereka yang terlibat,” ujarnya yang juga Adun Rhu Rendang. – HARAKAHDAILY 4/2/2021

- Advertisement -