100 pelajar manfaat wifi di pejabat Adun

- Advertisement -

PASIR MAS: Seramai 100 pelajar yang tingggal di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Chetok mendapat manfaat wifi jalur lebar secara percuma yang disediakan di Pejabat Khidmat Dun (PKD) berkenaan.

Adun Chetok, Zuraidin Abdullah berkata, pihaknya mengambil tanggungjawab menyediakan wifi percuma di PKD setelah menyedari ramai pelajar menghadapi masalah untuk mendapat akses internet.

Katanya, pandemik Covid menyebabkan pembelajaran terpaksa dilakukan secara atas talian sekarang.

- Advertisement -

“Kami menyediakan kemudahan internet percuma bagi membantu pelajar yang tinggal di kampung yang sukar mendapat liputan internet.

“Memang diakui ada beberapa kampung di kawasan Dun Chetok liputan internet tidak memuaskan. Malah ada juga kampung yang langsung tidak ada liputan internet,” ujarnya di sini.

Sehubungan itu kata beliau pihak PKD Chentok mengambil usaha sendiri menyediakan perkhidmatan wifi secara percuma di pejabat PKD tersebut.

Sambung beliau apa yang penting pelajar dapat mengikuti pelajaran dengan sempurna tanpa terjejas.

“Kerajaan negeri sentiasa mengutamakan pelajaran kepada rakyat negeri ini termasuk meningkatkan kemudahan pembelajaran di sekolah-sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan,” katanya.

Pembelajaran secara Pengajaran Dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sebagai normal baharu dalam dunia pendidikan di negara ini ekoran penularan pandemik sejak awal tahun lepas.

Selain itu kerajaan juga menyediakan saluran televisyen pendidikan bagi memudahkan pelajar yang tinggal di kawasan pedalaman mengikuti pembelajaran. – HARAKAHDAILY 4/2/2021

- Advertisement -