7 kluster dikesan punca pulang dari zon merah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan serius mencegah penularan Covid-19 akibat jangkitan daripada luar negeri dengan mencadangkan beberapa peraturan.

Antaranya mewajibkan ujian calitan (swab test), pemakaian gelang merah jambu dan pelaksanaan perintah kuarantin wajib selama 10 hari terhadap individu dari zon merah yang ingin masuk ke Kelantan.

- Advertisement -

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin berkata, peraturan itu dicadangkan dengan mengambil kira terdapat tujuh kluster dikesan berpunca daripada mereka yang pulang ke kampung dari zon merah.

Katanya cadangan mengenai perkara dibincang pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Kelantan (JKKN) yang dipengerusikan Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob pada 12 Januari lalu.

“Bagaimanapun pihak Majlis Keselamatan Negara tidak dapat mempertimbangkan cadangan tersebut setelah mengambil kira beberapa aspek serta keterbatasan petugas kesihatan bagi melaksanakan langkah terbabit,” katanya di sini hari ini.

Oleh itu kata beliau kerajaan negeri akur dengan keputusan MKN untuk tidak meneruskan pelaksanaan ‘swab test’, pemakaian gelang merah jambu dan kuarantin wajib individu yang ingin memasuki Kelantan berkuatkuasa serta-merta.

Menurutnya juga kerajaan negeri melalui pihak berkuasa akan terus meningkatkan operasi pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam kalangan masyarakat bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19. – HARAKAHDAILY 20/1/2021

- Advertisement -