Jawi Food Bank bantu mangsa banjir

KOTA BAHRU: Sebanyak RM62,500 dibelanjakan untuk menyediakan 5,000 kampit beras kepada setiap jajahan yang terjejas akibat banjir di Kelantan, baru-baru ini.

Sumbangan berkenaan disalurkan Jawi Food Bank bagi meringankan bebanan mangsa banjir baru-baru ini.

Advertisement

Majlis berkenaan disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Ustaz Ahmad Marzuk Shaary di Kompleks Purnama Pengkalan Chepa, di sini semalam.

Katanya, program berkenaan mendapat kerjasama dari masjid-masjid di Wilayah Persekutuan dan rakan strategiknya.

“Jawi Food Bank memperuntukkan sebanyak RM275,000 bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir sama ada di Kelantan atau Pahang.

“Sebelum ini sumbangan yang sama telah disampaikan kepada mangsa banjir di Pahang. Sabah juga dalam perancangan kita walaupun banjir baru melanda negeri itu,” ujarnya.

Anggota Parlimen Pengkalan Chepa itu juga berkata, melalui program berkenaan penglibatan agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga telah diselaraskan.

Katanya, sebagai contoh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) telah memfokuskan kepada program bantuan pasca banjir seperti membersih kawasan banjir di seluruh negara.

Katanya, peruntukkan yang dikeluarkan untuk program ini dikeluarkan dari dana musa’adah bagi menyediakan peralatan membersih. – HARAKAHDAILY 20/1/2021