Bantuan bakul makanan JKM diteruskan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Program Bakul Makanan bernilai RM50 juta akan segera dilaksanakan bagi memperkukuhkan program kebajikan rakyat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program yang akan dilaksanakan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu merangkumi barang keperluan makanan bernilai RM100 bagi setiap isi rumah yang layak.

- Advertisement -

Bagi meningkatkan kadar bantuan kebajikan bulanan di bawah JKM, Muhyiddin memaklumkan, peruntukan sebanyak RM2.2 bilion akan dimanfaatkan kepada lebih 400,000 penerima.

Beliau berkata demikian dalam pengumuman khas Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang disiarkan secara langsung, semalam.

Selain itu katanya, bagi memastikan kebajikan kumpulan rentan terus terpelihara, kerajaan akan memperuntukkan RM25 juta di bawah program GLIC/GLC Disaster Relief sebagai geran padanan bersama syarikat berkaitan kerajaan bagi inisiatif sosial.

“Ini termasuklah pemberian bantuan komuniti melibatkan masyarakat warga emas, gelandangan, OKU dan mangsa banjir,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan juga bersetuju untuk memberikan beberapa insentif dalam bentuk potongan cukai kepada penderma yang menyumbang wang tunai ataupun barangan bagi membantu rakyat yang terkesan dengan wabak tersebut sebagai tanda penghargaan.

“Penyumbang tersebut layak menuntut potongan cukai daripada pendapatan kasar perniagaan atau pendapatan agregat mereka,” ujar beliau.

Selain itu, kerajaan juga akan meneruskan insentif pelepasan cukai khas sehingga RM2,500 ke atas pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet sehingga 31 Disember 2021 memandangkan ia berpotensi merangsang ekonomi di dalam beberapa sektor selain selaras dengan keperluan norma baharu yang banyak bergantung kepada penggunaan alat digital. – HARAKAHDAILY 19/1/2021

- Advertisement -