Ambil tauladan dari permuafakatan GRS di Sabah

PERKEMBANGAN politik terbaru di Negeri Sabah membuka mata banyak pihak yang sedang bertelagah dan bersengketa di Semenanjung khasnya kalangan parti dan pimpinan Persekutuan. Di Semenanjung Kerajaan Perikatan Nasional (PN) peringkat Persekutuan terus bergegar apabila Umno dan BERSATU gagal membina permuafakatan walaupun bersama duduk dalam Kerajaan Persekutuan.

Kegagalan bermuafakat antara kedua parti ini sudah membawa kepada ketegangan dan perbalahan secara terbuka sehingga menimbulkan tanda tanya apakah Kerajaan PN mampu bertahan lebih lama.

Semua pihak mengetahui bahawa Kerajaan PN yang didukung BN, BERSATU, PAS, GPS (Sarawak) dan GRS (Sabah) bukanlah sebuah kerajaan yang kukuh apabila mengambil-alih di atas keruntuhan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu. Namun dengan majoriti yang terlalu tipis ia kekal memerintah lantaran keretakan rumah tangganya masih terkawal walau goyang dan kelemahan pihak pembangkang yang terus berpecah sesama sendiri. 

Advertisement

Sehingga ke hari ini hubungan Umno dan BERSATU terus tegang seolah hampir mustahil mencari jalan perdamaian. Malah Umno dijangka membahaskan usul memutuskan hubungannya dengan BERSATU dalam Perhimpunan Agungnya 31 Januari ini setelah majoriti Bahagian-bahagian Umno membawa usul demikian. Tekanan dalam Umno terkini bukan sekadar memutuskan hubungan dengan BERSATU malah mahu keluar dari Kerajaan PN. Masih adakah harapan untuk Kerajaan PN ini kekal atau akan roboh juga ia sebagaimana Kerajaan PH yang lalu?

Sementara itu PAS terus tidak putus asa memainkan peranan pendamai antara dua rakannya. Dengan slogan baru yang diiktiraf Majlis Syuranya, PAS ke hadapan dengan pendekatan ‘Memperkukuhkan Muafakat Nasional dan Mempertahankan Perikatan Nasional’. Sebagai sebuah parti Islam, PAS memikul tanggungjawab untuk meyakinkan kedua pihak Umno dan BERSATU bahawa politik baru dalam negara menuntut kuasa politik Melayu Islam yang diwakili ketiga parti bersatu dan bermuafakat, terbit sebagai satu ketumbukan kekuatan politik baru dalam negara.

PAS mengingatkan rakan-rakannya Umno dan BERSATU bahawa negara bakal menjulang kekuatan politik baru yang melibatkan ketiga parti utama ini hanya apabila mereka dapat bermuafakat dan menghadapi PH satu lawan satu. Berpecah dan berlawan sesama sendiri hanya akan mengulangi kegagalan Pilihan Raya Umum ke-14 sehingga akhirnya memusnahkan nasib dan masa depan ummah.

Semua pihak perlu berhati-hati dan mengambil iktibar, jangan lagi menembak dan menikam sesama sendiri, jika cita-cita peribadi mengatasi keutamaan bersatu-padu demi menobatkan perpaduan ummah maka selama-lamanya kita akan gagal dan kesannya kembali berkuasa PH yang didominasi DAP, ketika itu menangis air mata darah sekalipun sudah tidak berguna lagi.

Bagi PAS jika terbentuk kuasa politik baru yang kukuh ini, ia bakal merubah landskap politik negara, PAS bukan sekadar mahu umat Melayu Islam kembali dominan dan menentukan arah tuju negara, tetapi PAS mahukan bersama kita menempa kemenangan luar biasa dua pertiga sehingga kita mampu mencorakkan masa depan negara yang lebih meyakinkan.

PAS masih menaruh keyakinan bahawa permuafakatan besar ini mampu akhirnya tercapai walaupun hakikatnya ketegangan antara Umno dan BERSATU semakin meruncing kebelakangan ini. Membina sesuatu yang dituntut agama sesungguhnya bukanlah sesuatu yang mudah, Rasulullah S.A.W dan para Sahabat malah telah menempuh laluan yang lebih sukar dan mencabar, namun mereka istiqamah dan punya daya juang yang kental sehingga akhirnya dikurnia kemenangan oleh Allah S.W.T.

PAS yakin kemenangan yang sama dapat kita ulangi di tanah air kita, syaratnya kita yakin, berusaha dan tidak sekali-kali merungkaikan tali ikatan kita dengan Allah S.W.T. Kerana itu perkembangan terbaru di Sabah yang menyaksikan kesemua 9 parti dalam kerajaan menandatangani memorandum persefahaman kerjasama politik Gabungan Rakyat Sabah atau GRS adalah satu bukti yang parti-parti di bawah Kerajaan PN termasuklah Umno dan BERSATU tidak mustahil dan boleh sahaja bermuafakat dan bersetuju. 

Parti-parti yang menandatangani memorandum bersejarah ini terdiri dari BERSATU, Umno, PBS, STAR Sabah, PBRS, SAPP, PAS, MIC dan MCA yang sama-sama membentuk Kerajaan Negeri PN Sabah. Sabah telah membuka langkah walaupun persengketaan dan ketegangan sesungguhnya bermula di negeri berkenaan semasa Pilihan Raya Umum Negeri Sabah ke-16 yang lalu yang telah melihat BN dan PN bertanding sesama sendiri di beberapa kerusi termasuklah beberapa parti komponen tempatan yang lain. Namun kini setelah membentuk kerajaan mereka berdamai dan boleh berkerjasama.

Menurut Profesor Dr Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah pengalaman getir yang dilalui parti-parti ini telah menjadikan mereka lebih matang sehingga akhirnya bersatu dan berkerjasama demi kepentingan rakyat Sabah. Manakala menurut Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak Dr Arnold Puyok hanya melalui penyatuan barulah mereka (GRS) dapat kekal memerintah Sabah.

Semangat Sabah ini kita harap dapat dicontohi terutama oleh Umno dan BERSATU di Semenanjung khasnya di peringkat Kerajaan Persekutuan. Sabah telah berjaya merintis jalan penyatuan ini yang bakal menyaksikan kerajaan negeri terus kukuh memerintah melemahkan apa sahaja ancaman blok pembangkang termasuklah dari WARISAN, DAP mahupun PKR.

Penyatuan bakal mencetuskan kestabilan dan melaluinya pembangunan negeri dapat dirancakkan dengan berkesan manakala kebajikan rakyat pula dapat dibela dan diberi perhatian. Inilah yang diharapkan sangat oleh rakyat jelata khususnya mereka yang berada di Semenanjung. Negara sedang menghadapi ancaman serius pandemik COVID-19 yang menjejaskan ekonominya dan kehidupan rakyat, setakat artikel ini ditulis Malaysia telah mencatatkan 135,992 kes dengan lebih 55 kematian.

Jika kita terus bersengketa dan enggan mencari jalan damai, rakyat akan hilang kepercayaan pada kita dan tidak mustahil dalam kekecewaan itu mereka kembali mendakap PH sebagaimana yang berlaku dalam PRU ke-14 lalu, sanggupkah kita melihat ini berlaku? Sanggupkah kita serah kembali kuasa ke DAP?

Agenda ‘Memperkukuhkan MN dan Mempertahankan PN’ perlu terus menjadi fokus utama setiap pimpinan dan ahli serta penyokong PAS. Hanya melalui politik perdamaian barulah negara dan rakyat dapat diselamatkan iaitu apabila PAS, Umno dan BERSATU dapat bernaung bawah satu payung besar sebagaimana berlaku di Sabah. 

Umno dan BERSATU perlu menoleh ke Sabah dan belajar dari kejayaan rakan-rakan kita di sana, mereka pernah bertelagah tetapi apabila tiba masanya untuk bermuafakat dan bergerak ke hadapan mereka tidak teragak-agak berbuat demikian demi rakyat dan negeri Sabah. Semoga begitulah juga kita di Semenanjung dan seluruh negara. Hentikan politik perbalahan semarakkan politik perdamaian dan permuafakatan. Syabas GRS Sabah.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 15/1/2021