Komunis: Hiasan dinding restoran ada agenda

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Paparan hiasan dinding restoran dengan gambar pemimpin Komunis China, Mao Tse Tung adalah sebahagian rentetan tindakan seumpama yang berlaku sebelum ini.

Penganalisis Politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah membayangkan pandangannya betapa pihak sedemikian sengaja berbuat demikian, bahkan terdapat yang segera tampil mempertahankan.

“Belum pun reda lagi isu abu mayat Chin Peng dan Jalur Gemilang berbucu lima. Punya banyak gambar, Mao Tse Tung juga dipilih? Jika orang Melayu buka restoran di China, bolehkan kita menjawikan seluruh bangunan?

- Advertisement -

“Kamu tinggal di mana ultra kiasu? Jika nak gantung gambar Mao, balik kamu negara asal. Pemikiran Komunis betul!” bidas beliau yang juga Pensyarah Institusi Penyelidikan Produk & Ketamadunan Melayu Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

Beliau juga mempertikai dan menyatakan kehairanannya terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) yang seperti tidak memantau tanda atau hiasan kedai tidak mendaulatkan bahasa kebangsaan itu.

Kata beliau, restoran yang terletak di Pulau Pinang itu menampakkan seolah-olah ia bukan lagi sebuah negeri asal usul kepunyaan Sultan Kedah, tetapi imejnya sama seperti sebuah negara Komunis.

Tempelaknya, fizikal restoran Komunis itu ternyata langsung tidak sensitif dalam mendaulatkan Bahasa Kebangsaan di mana tulisan Cina begitu besar dan sama seperti restoran di negara China.

Beliau juga kesal dengan tindakan terlalu asing pihak terbabit mempertahankan perkara itu, sedangkan seharusnya bersikap dengan pepatah ‘Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’.

Dr Ridhuan turut menyangkal pihak yang mempertahankan isu tersebut dengan menyanggah tindakan pihak polis boleh menjejaskan hubungan diplomatik dengan negara China.

Sedangkan katanya, ketika pemimpin Komunis membunuh, menganiaya, membuli dan menghina umat Islam Uyghur, tetapi mereka tidak pula menyatakan perkara seumpama.

Bahkan sanggah beliau, tindakan membawa imej Komunis tersebut bercanggah dengan amalan negara ini yang berpegang kepada Demokrasi dan sama sekali menolak Komunis.

“Adakah kerana mahu menjaga hubungan diplomatik dengan China, maka perkara yang menjadi sensitiviti rakyat di sini harus dikorbankan?

“Ultra kiasu ini berkata lagi, dari tahun 2013 hingga separuh pertama tahun 2020, China telah melabur sejumlah RM9.1 bilion di bahagian utara Semenanjung Malaysia. China juga memainkan peranan aktif dalam membantu Malaysia memerangi wabak COVID-19.

“Jadi, adakah dengan bantuan ini, kita perlukan korbankan kedaulatan dan kehormatan negara?” ujarnya menggesa Kerajaan Malaysia tidak memberikan kerakyatan kepada isteri pemilik restoran ini.

Kelmarin dahulu tular di media sosial gambar pemimpin agung Komunis China itu menghias dinding dan peralatan makanan sebuah restoran di Pulau Pinang sebelum polis bertindak menanggalnya.

Malah, netizen juga mendakwa terdapat lagi imej seumpama di sebuah restoran lain juga di Pulau Pinang dan Johor serta sebuah hotel di Ibu Negara. – HARAKAHDAILY 5/1/2021

- Advertisement -