6 sumbangan besar Prof Diraja Ungku Aziz perlu diingati

- Advertisement -

APABILA disebut nama Profesor Diraja Ungku Aziz (Ungku Aziz), rata-ratanya generasi milenia kini kurang mengenali beliau. Ya, benar. Namun, apabila dikaji dan bertanya kepada mereka yang berada di zaman kegemilangannya, barulah disedari bahawa jasa beliau amat bermakna buat rakyat Malaysia. 

- Advertisement -

Berikut dikongsikan sebahagian sumbangan besar beliau yang perlu diingati dan menjadi rujukan buat generasi akan datang.

Tabung Haji (TH)

Antara sumbangan terbesar Ungku Aziz yang dikenali pada awalnya menerusi idea penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH) ketika menulis kertas kerja bertajuk ‘Rancangan Membaiki Keadaan Ekonomi Bakal-bakal Haji’kepada kerajaan pada 30 September 1959 hingga lahirnya TH pada hari ini. 

Beliau mengkaji dan melihat sendiri keadaan masyarakat Melayu pada ketika itu yang berkorban harta untuk pergi ke tanah suci. Ada juga yang sanggup menggadai binatang ternakan dan tanah untuk mengumpul duit untuk mengerjakan ibadah haji. Justeru TH adalah langkah terbaik dalam membantu orang Melayu menyimpan duit tanpa riba dan ekonomi untuk jangka masa panjang.

Dasar Ekonomi Melayu (DEB)

Ketika terjadinya peristiwa 13 Mei 1969, Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak memperkenalkan DEB sebagai langkah merapatkan jurang antara kaum. Pada ketika itu Ungku Aziz dilantik sebagai salah seorang panel yang merangka Dasar Ekonomi Baru.

Antara pandangan beliau mendapati sistem meritokrasi masih tidak sesuai diamalkan kerana jurang perbezaan di bandar dan luar bandar tersangatlah luas. Bumiputera yang kebanyakannya tinggal di luar bandar masih belum mendapat kemudahan infrastruktur yang mencukupi. Justeru itu DEB menjadi solusi terbaik dalam menaikkan keyakinan masyarakat Melayu agar terus kekal berdaya saing.

ANGKASA

Pada peringkat awal, penubuhan koperasi telah bergerak di seluruh Malaysia, namun tidak selaras dan rekod pencapaian kurang memuaskan. Lalu Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) telah ditubuhkan pada tahun 1971 sebagai badan induk dan penyelia bagi semua syarikat-syarikat berdaftar di Malaysia. 

Ungku Aziz telah dilantik sebagai Yang Dipertua dan telah memimpin selama 37 tahun. Di bawah kelolaannya koperasi di Malaysia telah menjadi bertambah pesat dan mapan. Ini membuktikan idea-idea beliau dalam bidang ekonomi telah banyak membantu memulihkan ekonomi masyarakat di Malaysia secara amnya.

RIDA (MARA)

Dalam mengharungi dilema jurang ekonomi yang besar bagi Bumiputera pada masa itu, penubuhan Rural Industrial Development Authority (RIDA) pada tahun 1950 memberi kesan yang besar kepada mereka. Pengerusi pengasas RIDA yang pertama adalah Dato’ Onn Jaafar. Beliau kemudiannya melantik Ungku Aziz sebagai ahli Lembaga RIDA.

Tumpuan RIDA dalam sektor-sektor penting masyarakat Melayu seperti pertanian, perladangan dan perikanan menjadi sebahagian daripada tumpuan penyelidikan dalam kajian-kajian yang dijalankan semasa hayat beliau.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)

Atas dasar minat yang mendalam terhadap bidang kesasteraan Melayu, Ungku Aziz telah dilantik sebagai pengarah pengasas yang pertama pada tahun 1956. Pejabat pertama DBP terletak di Bukit Timbalan, Johor Bahru. Kemudiannya berpindah ke Kuala Lumpur sebagai lokasi strategik di sana.

Beliau hanya sempat memikul jawatannya selama satu tahun, kerana tidak mahu mengganggu tugasnya sebagai ahli akademik di Universiti Malaya. Namun minatnya terhadap kesusasteraan Melayu tidak pernah pudar apabila pernah menjadi individu yang tidak bersetuju pelaksanaan Program Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Pusat Asasi Sains UM (PASUM)

Selain menjadi Naib Canselor paling lama di Universiti Malaya iaitu selama 20 tahun, antara sumbangan terbesarnya di Universiti Malaya adalah menubuhkan PASUM pada tahun 1977. Idea ini diperolehi oleh beliau ketika mengadakan lawatan di luar negara, seperti Centre of Foundation Studies di United Kingdom.

PASUM merupakan program pusat matrikulasi selama dua tahun yang menumpukan kepada aliran sains. Penubuhan PASUM ini juga adalah sebagai usaha beliau dalam memberi galakan kemasukan para pelajar Bumiputera ke dalam universiti khususnya dalam aliran sains. 

Terlalu banyak jasa yang beliau berikan buat negara. Semoga dengan segala sumbangan yang beliau lakukan ini menjadi bekalan saham di akhirat. Juga dapat memberi pedoman buat generasi muda agar sentiasa terus berusaha keras memajukan diri untuk menyemai bakti demi tanah air tercinta.

Disediakan oleh,

FAIZ RAZALI
Ahli Kluster Kejuruteraan,
Jabatan Profesional Muda (JPro),
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 2/1/2021

Rujukan:
(1) Asmah Haji Omar, 2015. Riwayat Ungku Aziz. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
(2) https://www.thepatriots.asia/selamat-tinggal-cendekiawan-melayu-terulung-abad-ini-prof-ungku-abdul-aziz/ 
(3) https://en.wikipedia.org/wiki/Ungku_Abdul_Aziz

- Advertisement -