DBP sokong Jumaat ‘Hari Jawi’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) menyokong penuh keputusan kerajaan menjadikan hari Jumaat sebagai ‘Hari Jawi’.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof. Dato’ Dr. Awang Sariyan, berkata keputusan itu memberikan ruang untuk tulisan Jawi diletakkan pada martabatnya yang sah sebagai tulisan bahasa Melayu selama hampir seribu tahun sebelum tulisan Rumi diterima sebagai tulisan rasmi bagi bahasa kebangsaan.

- Advertisement -

“Dalam zaman Kesultanan Melayu selama ratusan tahun, tulisan Jawi menjadi tulisan bagi semua bidang, seperti agama, undang-undang, ketatanegaraan, sejarah, perubatan, persenjataan, hikayat dan susastera (prosa dan puisi) malahan dalam bidang diplomasi.

“Surat dan perjanjian antara kerajaan di Alam Melayu dengan kuasa asing seperti Belanda, Portugal, Sepanyol dan Inggeris turut ditulis dengan Jawi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dalam kenyataannya mengumumkan hari Jumaat sebagai Hari Jawi yang berkuatkuasa hari ini (10 Julai).

Ia sebagai usaha mengekalkan dan memperkasakan sebahagian tradisi dan kebudayaan yang membentuk Malaysia.

Mengulas lanjut, Awang Sariyan berkata tulisan Jawi dan bahasa Melayu diterima oleh semua bangsa, hatta semasa penjajahan Inggeris.

Berikutan itu, katanya tiada asas untuk mana-mana pihak yang mewakili kaum tertentu untuk menolak usaha mengembangkan tulisan Jawi.

“Sebagai usaha awal untuk memasyarakatkannya, tulisan Jawi perlu digunakan untuk peragaan maklumat di tempat awam, premis perniagaan dan pejabat, serta dokumen di samping tulisan Rumi,” ujarnya.- HARAKAHDAILY 10/7/2020

- Advertisement -