Ulamak ini tidak pernah tinggalkan orang susah

- Advertisement -

ISU KWSP, Tabung Haji, moratorium, krisis Menteri Besar Perak, isu arwah Adib, Belanjawan 2021… Kalaulah rakyat Malaysia tahu apa yang Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, dan para ulamak PAS usahakan di balik tabir, tentulah tiada siapa pun yang akan tergamak memfitnah ulamak-ulamak ini sebagai ‘kenyang jawatan’, ‘lupa diri’, ‘main dua kolam’, dan sebagainya, tidak kira anda penyokong kerajaan mahupun pembangkang.

Saya tiada kena-mengena sama sekali dengan parti PAS mahupun Umno atau BERSATU, tetapi saya mempunyai ramai kenalan dan sahabat dalam ketiga-tiga parti yang terlibat secara langsung dalam pelbagai rundingan di balik tabir. Kesemua mereka berpegang pada etika kerahsiaan masing-masing, maka izinkan saya berkongsi babak-babak proses di balik tabir politik kita hari ini yang sedikit-sebanyak sudah diketahui umum.

Mereka tidak maksum, tetapi lumrah kebiasaan ulamak PAS seperti mana pesan Rasulullah S.A.W, apabila melakukan kebaikan, akan berusaha menyembunyikan kebaikan itu hingga tangan kiri tidak menyedari kebaikan yang dilakukan oleh tangan kanan. Apabila menegur kekurangan pula, wajib para ulamak menjaga aib rakan dan sahabat selagi mana tidak bertentangan dengan syarak. 

- Advertisement -

Tetapi awas, jika memang ada jenayah yang rakan politik lakukan, ulamak PAS menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada sistem kehakiman dan mahkamah dalam negara – pendirian inilah yang sangat ditakuti sesetengah pihak.

Seorang ulamak dan ahli politik yang faham fiqh ‘keutamaan’ (atau Aulawiyat) akan tahu betapa kritikalnya kestabilan negara, keresahan rakyat susah, dan sentimen pelabur. Mereka tahu bahawa segala cadangan kebaikan, perbezaan pandangan ekonomi dan politik dengan rakan parti lain seeloknya diselesaikan secara matang dan rundingan di balik tabir, bukannya dengan cara mencetus panik dan mencurah kebencian rakyat terhadap rakan-rakan secara terbuka.

Apatah lagi dalam setiap keputusan yang tidak melibatkan Kementerian PAS, terdapat ramai Menteri parti rakan, Timbalan Menteri parti rakan, pegawai tadbir kerajaan, dan pakar profesional yang perlu dirunding dan dinasihati mengikut lunas aturan undang-undang, bukannya main langgar saja. 

Tindakan melaungkan kritikan terbuka itu adalah peranan rakyat seperti Tentera Troll Kebangsaan Malaysia TTKM, atau Amran Fans, atau Rani Kulup Fans, dan juga pembangkang. Tugas pemimpin mengusahakan penyelesaian, bukannya mencurah kebencian, mencetus ketidakstabilan.

Contohnya dakwaan kerajaan teruskan penjualan aset Tabung Haji melalui surat yang dibocorkan pada 8 Disember, sedangkan pada 4 Disember lagi Kerajaan PN sekarang sudah menarik balik rancangan Kerajaan PH itu. Tindakan sebegini bukanlah peranan pemimpin yang menyokong kerajaan semasa kerana langkah sedemikian mencetus keresahan dan ketidakstabilan dalam kalangan rakyat dalam situasi pandemik yang cukup parah. 

Realiti dunia politik, setiap parti mempunyai pengikut tersendiri yang mempunyai keperluan, kehendak, dan kepentingan masing-masing. Dalam Kerajaan PN hari ini ada parti terbesar dengan lebih 3 juta ahli, ada parti Islam dengan lebih 2 juta sokongan, dan ada parti baru yang hanya memiliki sekitar 700 ribu sokongan.

Kisahnya, parti lama yang mempunyai lebih 3 juta ahli, lebih seratus Ketua Bahagian dan lebih dua ribu Ketua Cawangan perlu menjaga ahli mereka yang antaranya merupakan penerima bantuan tetap sejak sekian lama, kontraktor, peniaga, pemodal, dan penyumbang dana politik tempatan masing-masing.

Realiti ini sama sahaja untuk semua parti politik di Malaysia, bezanya parti lama ini memiliki ahli dan penyokong terbesar di Malaysia sekali gus menjadikan ‘keperluan’ mereka lebih mendesak dan ketara berbanding parti lain; selagi mana bantuan, kontrak, pinjaman, surat sokongan, dan tender ini diberi atas dasar merit, kompetitif, dan kelayakan, kesemua harapan dan tuntutan kontraktor Ketua Bahagian dan Cawangan ini tidak salah, bukan rasuah, dan tidaklah berdosa. 

Dalam keadaan pandemik hari ini, semua sektor terjejas maka harapan pengikut bawahan kepada kontrak-kontrak daripada kerajaan yang dikuasai gabungan parti yang mereka sokong menjadi sangat kritikal hingga ke tahap hidup mati syarikat, baik besar mahupun kecil dan sederhana (SME), dan juga ramai ahli parti yang tergolong dalam penerima bantuan sekian lama.

Begitu juga dengan para Ketua Bahagian dan Ketua Cawangan serta pengikut mereka yang perlukan jawatan dalam Jawatankuasa Pembangunan Ketua Kampung (JPKK), Majlis Tempatan, Daerah, GLC, atau GLIC di pelbagai peringkat pusat atau negeri – dengan harapan untuk mengikat kesetiaan pengikut mereka di peringkat Bahagian dan Cawangan. Apatah lagi pemilihan parti bakal menjelang tiba.

Apabila parti terbesar di Malaysia ini tidak menguasai kedudukan pembuatan keputusan ekonomi, maka keputusan pemberian kontrak-kontrak dan tender-tender kerajaan, keutamaan pinjaman perniagaan kerajaan, surat sokongan bantuan dan pinjaman, dana agensi kerajaan, agihan peruntukan, apatah lagi posisi di kampung, majlis tempatan, GLC, dan GLIC tidak memihak mereka lalu timbullah gelombang protes besar-besaran kepada parti rakan yang lebih kecil dan baru tetapi lebih dominan. 

Contohnya Ketua Pemuda parti baru dilantik menjadi Senator dan Timbalan Menteri sedangkan Ketua Pemuda parti lama tadi tidak diberi sebarang jawatan utama di peringkat Pusat. Calon lawan Ketua Pemuda parti baru yang kalah pemilihan pula dilantik di jawatan utama MARA – posisi yang cukup strategik untuk undi Melayu dan Bumiputera – sedangkan Naib Ketua Pemuda Parti lama tadi pun tidak diberi kedudukan yang setara. Terkini Datuk Seri Najib sendiri mendedahkan surat tanah di Perak yang diberi kepada Ketua Penerangan Pemuda parti baru. Semua ini menimbulkan kebencian meluap-luap dalam kalangan Pemuda parti lama.

Kalau pemimpin parti baru ini cuba salurkan bantuan, tender, dan pinjaman ini kepada para pengikut parti lama, langkah itu akan dilihat menggugat kedudukan, kerusi, dan kesetiaan pengikut para pemimpin parti lama pula.

Gelombang anti-PN ini digerakkan para pemimpin dan pengikut parti lama dan besar tadi dari pelbagai peringkat; gabungan cybertroopers yang tidak berbayar dan juga berbayar yang memiliki kesetiaan ideologi, sentimental, dan juga material.

Mereka benci dengan dominasi parti serpihan mereka yang lebih baru dan kecil, meskipun sebahagian pemimpin mereka turut memegang jawatan kanan di pelbagai peringkat dan kementerian. Bagi mereka, sebagai parti dengan 3 juta keperluan dan kehendak, agihan jawatan yang sama rata dengan parti baru yang kurang sejuta ahli adalah sangat tidak adil dan zalim.

Mengapa parti baru dan kecil ini lebih dominan? Kerana mereka dilaporkan menguasai fail-fail dan dokumen rahsia salah laku sebahagian pemimpin parti yang besar dan lama tadi (bahkan juga fail ramai pemimpin pembangkang yang kini dibicarakan di mahkamah). Bagaimana mereka boleh kuasai fail-fail ini? Kerana mereka sebelum ini menganggotai Pakatan Harapan (PH) dan menduduki posisi yang cukup kritikal.

Perdana Menteri (PM) hari ini ialah Menteri Dalam Negeri era PH. Menteri Kanan MITI hari ini ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi PH yang turut kuasai GLC dan GLIC utama negara seperti Khazanah. Menteri Kanan Pendidikan hari ini ialah Timbalan Menteri Kewangan PH. Menteri Dalam Negeri hari ini pula ialah Setiausaha Agung parti baru ini. Jadi anda faham fail-fail yang bagaimana mereka miliki ketika menjadi Menteri dalam PH dahulu?

Ya, mereka kuasai fail-fail dan dokumen rahsia yang cukup untuk menundukkan sebarang tuntutan parti yang lebih lama dan memiliki lebih 3 juta ahli tadi. Bayangkan, bagaimana parti setahun jagung dengan jumlah kerusi yang begitu sedikit dan tidak popular boleh menundukkan para pemimpin parti dengan jumlah kerusi terbesar untuk jawatan Perdana Menteri dan Menteri-menteri Kanan sebaik sahaja Kerajaan PH menumbangkan diri sendiri pada awal tahun ini?

Benar, parti yang baru ini tidak memiliki ahli yang besar, tidak mempunyai sokongan orang Melayu yang ramai, malah tidak mempunyai kerusi terbesar di Parlimen; namun, kerana mereka kuasai fail-fail rahsia tadi, kuasa rundingan dan tawar-menawar mereka begitu luar biasa.

Malah, parti baru ini pula berjaya membawa pulang sebahagian wang negara yang digubah secara haram dari Amerika Syarikat, dan terkini kembali menguasai FGV melalui Felda. PAS pula berbeza, tidak menuntut sebarang jawatan kerana Tuan Guru Abdul Hadi Awang bukan seorang yang kejarkan jawatan Perdana Menteri, malah menjadi Ahli Parlimen pertama yang menandatangani SD menyokong Tan Sri Muhyiddin sebagai PM pada Februari lalu.

Paling menimbulkan kemarahan para pemimpin parti besar tadi apabila ada pemimpin Sabah mereka yang dibebaskan daripada 46 pertuduhan, dan ada Menteri Kanan parti baru yang kes semburitnya masih tidak ketahuan status; sebaliknya kes enam Ahli Parlimen parti lama pula terus didedahkan melalui siri perbicaraan di mahkamah; hingga ke tahap pemimpin popular mereka disahkan bersalah dalam kes kleptokrasi manakala Presiden mereka terus dibicarakan atas dakwaan penyelewengan dan pecah amanah Yayasan.

Di Johor, bukan sahaja ada kes pemimpin veteran Johor Bahru yang masih disiasat kes penggubahan wang haram berkait kleptokrasi, bahkan kerusi Parlimen Johor Bahru turut dilaporkan cuba ingin diambilalih oleh pemimpin parti kecil yang baru tadi.

Parti kecil ini pula terdesak untuk menjamin survival mereka menjelang Pilihan Raya Umum ke-15: mereka mungkin menguasai jawatan penting kerajaan hari ini, tetapi mereka bermasalah dari segi kewangan parti, jumlah jentera, dan juga kerusi DUN dan Parlimen yang mereka boleh menangi secara bersendirian.

Berbeza dengan parti besar tadi yang sejak sekian lama memiliki rangkaian mantap para penyumbang seperti kontraktor dan peniaga, parti kecil dan baru ini terpaksa menggunakan segala kedudukan dalam kerajaan hari ini untuk menguatkan kedudukan kewangan dan sokongan mereka.

Maka terjadilah keputusan-keputusan ekonomi yang tidak dipersetujui, dengan kemungkinan agihan kerusi-kerusi Pilihan Raya yang juga tidak dipersetujui. Namun parti besar tidak boleh menentang atau menyerang secara agresif kerana fail mereka masih dipegang pemimpin parti baru itu.

Kemuncaknya, pemimpin popular dalam parti besar itu telah berunding di balik tabir untuk menyokong Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri; sokongan itu bukanlah ikhlas, melainkan sebagai strategi untuk memaksa parti baru agar akur dengan desakan parti besar – lebih baik lagi, jika Pilihan Raya Umum boleh disegerakan agar jawatan utama bertukar tangan ke parti besar kembali.

Namun begitu, Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan agar seluruh ahli politik kurang berpolitik dan bersatu-padu menyokong Belanjawan 2021: kedua-dua titah Baginda ini sekali gus meranapkan usaha Anwar Ibrahim cuba mengambil alih kerajaan dan juga mengendurkan usaha parti lama untuk menolak Belanjawan yang boleh menjatuhkan kerajaan diterajui parti baru. 

Lulusnya Belanjawan 2021 ini telah membawa implikasi kewangan yang besar kepada parti baru: JASA dengan jenama J-KOM bakal menerima peruntukan lebih RM85 juta sekali gus mengukuhkan usaha parti baru untuk memecah dominasi kebergantungan masyarakat kepada parti lama.

Kesemua senario ini membimbangkan sesetengah para pemimpin parti lama; bukan sahaja hasrat mereka untuk merampas semula kerusi yang mereka tewas dalam PRU14 mungkin tidak kesampaian, bahkan kerusi yang mereka sedang miliki pun mungkin terpaksa dikorbankan kepada parti baru.

Dalam keadaan parti besar dan lama ini terikat untuk menyokong setiap satu undian Belanjawan 2021, isyarat keras perlu diberi kepada parti baru dan kecil: maka sidang DUN Perak menjadi sasaran dengan menjatuhkan MB dari parti kecil dalam undian Usul Percaya MB yang mereka sendiri cadangkan, tetapi mereka sendiri mengundi menolaknya. Bahkan Timbalan Presiden parti lama sendiri dedahkan bahawa tindakan ini tidak dibincang dalam Majlis Kerja Tertinggi. 

Rancangan parti besar dan lama ini untuk bekerjasama dengan PKR, PAN, dan DAP sebagai taktik untuk ‘menekan’ parti baru dan kecil tadi jelas: Perak cuba dijadikan contoh bagaimana akibat sama boleh terjadi di peringkat Persekutuan.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sebaliknya berbeza dengan parti lama dan parti baru tadi: dengan himpunan ribuan ulamak dan lebih dua juta pengikut di Malaysia, seluruh ahli PAS hanya memiliki matlamat untuk menerapkan Islam dalam segenap aspek politik Malaysia, bukannya kontrak, tender, bantuan, pinjaman, mahu pun surat sokongan material melalui jawatan kerajaan.

Rekod PAS di SPRM kekal sebagai parti bebas rasuah hingga hari ini, laporan Ketua Audit Negara juga saban tahun memuji Kerajaan PAS Kelantan di sebalik pelbagai fitnah salah laku yang tiada satu bukti pun boleh dibawa ke mahkamah. 

PAS tidak pernah disabit bersalah oleh mahkamah era BN, mahupun ketika era PH, di sebalik segala fitnah yang terus dimainkan. Jika anda ada bukti bahawa PAS rasuah, silakan lapor kepada SPRM segera.

PAS pernah mengusahakan kerjasama politik dengan parti demokratik Sekular dan parti Keadilan untuk menerapkan Islam dalam praktik politik, namun terhalang dek dasar kedua-dua parti tadi seperti kes memaksa Tan Sri Khalid Ibrahim letak jawatan MB Selangor dalam keadaan ekonomi negeri stabil, memaksa calon mereka sebagai Ketua Menteri Sarawak sewaktu PRN 2011, menolak pemerkasaan Perundangan Syariah RUU355, dan tegas dengan dasar Demokratik Sekular.

Maka pilihan PAS untuk menerapkan Islam dalam politik hanyalah dengan parti lama, baru, dan juga sekutu Sarawak serta Sabah melalui Kerajaan Perikatan Nasional.

Dalam Kerajaan PN hari ini PAS hanya diberi 3 jawatan Menteri, tetapi PAS tetap fokus bekerja di Kementerian yang diamanahkan – seperti mana juga para Menteri daripada parti rakan yang lain. Namun begitu, sebaliknya bagi para pemimpin parti lama yang tidak berjawatan serta mereka dengan kes yang masih dibicarakan di mahkamah.

Pemimpin parti lama tadi yang berjawatan boleh menawarkan bantuan, pinjaman, kontrak, sumbangan, surat sokongan, dan sebagainya kepada para pengikut mereka di Bahagian dan Cawangan masing-masing. Hal ini berbeza dengan pemimpin yang tidak berjawatan.

Keadaan menjadi kurang baik apabila pemimpin tidak berjawatan tadi memiliki keupayaan kewangan untuk disalurkan kepada cybertroopers untuk mengulang-ulang agenda mereka, merendahkan kerajaan semasa seperti ungkapan ‘Kerajaan Semburit’ sedangkan mereka sendiri bekerjasama dengan ahli politik yang didakwa bersemburit itu ketika Pakatan Harapan runtuh Februari lalu. Mengapa baru sekarang melaung ‘Semburit’? Kenapa tidak dahulu?

Maka para ulamak PAS berdepan cabaran yang berbeza hari ini; jika dahulu rakan Pakatan mereka menentang usaha penerapan Islam dalam politik, hari ini cabarannya ialah untuk memelihara kerjasama antara parti baru dan lama yang saling merebutkan kelebihan material sebagai kerajaan untuk relevan kepada para pengikut peringkat Bahagian dan Cawangan masing-masing – serta sebahagian yang sedang dibicarakan kes mereka.

PAS, seperti mana rakan parti lama mereka, tidak menguasai sebarang kedudukan pembuatan keputusan ekonomi: tiada di Pejabat Menteri Kewangan, tiada di Majlis Tindakan Ekonomi, tiada di Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, tiada di Unit Perancang Ekonomi, tiada di MITI.

Malah, para ulamak PAS tidak menguasai kepentingan saham dalam mana-mana syarikat utama. Jauh berbeza dengan para pemimpin parti lama dan baru yang masing-masing menjadi fokus kajian para pelabur saham kerana mereka memiliki kaitan dengan begitu banyak syarikat yang tersenarai di Bursa Saham Malaysia.

Malah ada pemimpin parti lama yang memiliki harta lebih RM1 bilion manakala seorang lagi didakwa tidak membayar cukai sebanyak RM1 bilion. Jauh beza harta dan keupayaan material mereka dengan ulamak PAS.

Dalam keadaan seluruh negara dan rakyat berdepan krisis pandemik, PAS jelas menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong sejak Februari lalu supaya kerajaan yang stabil dapat diwujudkan.

Hal ini sukar untuk diterima para pemimpin parti lama yang tidak berjawatan, masih memiliki kes di mahkamah, dan menerima tekanan hebat dari ramai pengikut mereka di peringkat bawah yang mengharapkan bantuan dan pulangan material dari kerajaan; jika parti baru dan kecil memberikan bantuan, sokongan, pinjaman ini, maka langkah tersebut akan dilihat sebagai cubaan untuk merampas pengikut, sokongan, dan kerusi Parlimen serta DUN mereka menjelang Pilihan Raya Umum kelak.

Para ulamak PAS difitnah sebagai ‘main dua kolam’ dengan parti lama dan parti baru sedangkan usaha penyatuan ini adalah Titah keputusan Yang di-Pertuan Agong sejak Februari lalu yang cukup kritikal dalam keadaan negara berdepan krisis pandemik. Ulamak PAS difitnah selesa dengan jawatan dan ghanimah sedangkan sebahagian besar gaji dan elaun mereka dipulangkan dalam bentuk bantuan kepada rakyat, buktinya semaklah setiap perkembangan gerak kerja wakil rakyat PAS di kawasan mereka.

Semoga Allah melembutkan hati para pemimpin parti lama dan baru di setiap peringkat supaya tidak menjadikan monopoli jawatan dan kuasa pemberian kontrak, tender, bantuan, pinjaman, dana, dan sebagainya sebagai punca keruntuhan kestabilan politik dan kerajaan kita di saat pandemik hebat menguji kita semua. 

Semoga Allah terus memelihara para ulamak yang tidak pernah berhenti perjuangkan isu KWSP, Tabung Haji, moratorium, isu arwah Adib, Belanjawan 2021, dan pelbagai isu rakyat lagi disebalik tabir, yang berkorban segala-galanya demi kestabilan politik negara dan berjuang menegakkan Islam melalui kedudukan yang diamanahkan kepada mereka.

ABDUL MUEIN ABADI 
Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda – HARAKAHDAILY 9/12/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -